by Oh! Semput
SINGAPURA: Kumpulan Warga Emas Parti Tindakan Rakyat (PAP.SG) memfailkan usul di Parlimen bagi membahaskan idea yang bertujuan untuk mengukuhkan dan menyokong warga emas di Singapura.
Dalam kenyataan media pada Jumaat (2 Feb), PAP.SG menyatakan idea-idea tersebut akan diutarakan termasuk memikirkan semula bagaimana penuaan di tempat kerja ditakrifkan serta menyediakan huraian lebih menyeluruh bagi memberi bantuan kepada warga emas di rumah dan kehidupan yang memerlukan bantuan.
Membantu warga emas meraih keuntungan daripada aset perumahan mereka dan mengukuhkan sokongan masyarakat untuk golongan itu juga akan dibincangkan, menurutnya.
Beberapa idea lain yang akan dikemukakan termasuk menyediakan lebih banyak bantuan kepada penjaga warga emas, menyalurkan masa bagi mendorong kesukarelawanan dan membantu warga emas merapatkan jurang digital.
Usul berkenaan difailkan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon Henry Kwek.
Ia mendapat sokongan daripada lima AP lain, termasuk Dr Lily Neo (GRC Jalan Besar), Cik Joan Perera (GRC Tanjong Pagar), Cik Tin Pei Ling (SMC Macpherson), Cik Rahayu Mazham (GRC Jurong) dan Cik Cheng Li Hui (GRC Tampines).
Kenyataan media itu juga mendedahkan beberapa AP dan Anggota Parlimen Dilantik lain juga akan memberikan pandangan semasa perbincangan berkenaan.
Encik Kwek berkata: "Penuaaan membawa kemungkinan positif kepada kedua-dua warga emas kita dan Singapura. Kami boleh memanfaatkan tenaga 'dividen perak' dan kebijaksanaan warga emas melalui dasar bijak dan usaha masyarakat."
Sambil menarik perhatian bahawa pemerintah merasmikan Pelan Induk Jagaan Kesihatan 2020 pada tahun 2012, dan Pelan Tindakan bagi Penuaan Berjaya pada tahun 2015, beliau berkata ini masa yang baik untuk mengikuti perkembangannya dan mengusulkan idea baru.
Speaker Parlimen dan pengerusi baru kumpulan sokongan itu, Tan Chuan-Jin berkata PAP.SG yakin warga emas memainkan peranan bermakna dalam masyarakat.
Beliau turut berkata: "Wawasan kami haruslah menjadi satu di mana rakyat Singapura dapat hidup lama dan meniti usia senja dengan baik. Banyak lagi yang boleh kami lakukan bagi mengukuhkan sokongan bagi warga emas kita agar mereka dapat menua dengan berjaya dan bermaruah, dan kami sudah mula berbuat demikian. Kami akan mengorak langkah dalam menyatukan masyarakat kita bagi memupuk persekitaran di mana warga emas kita boleh terus makmur. Ia melibatkan kita semua dan ini satu wawasan yang boleh direalisasikan."
Usul tersebut akan dibincangkan di parlimen minggu depan.