by Oh! Semput
Ketika industri kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat, pusat data di seluruh dunia berdepan cabaran besar dari segi penggunaan air dan tenaga.
Seperti semua sedia tahu, pusat data AI berskala besar memerlukan sistem penyejukan yang sangat intensif kerana pelayan AI menghasilkan haba yang tinggi.
Dalam sesetengah kes, kemudahan ini boleh menggunakan sehingga jutaan gelen air setiap hari untuk mengekalkan suhu operasi yang stabil.
Walaupun gergasi-gergasi teknologi AI menekan bahawa pusat data mereka mengaplikasikan teknologi-teknologi sistem penyejukkan canggih seperti sistem penyejukan cecair gelung tertutup yang didakwa cekap penggunaan air, kebimbangan orang awam terhadap penggunaan sumber air tetap tinggi.

Jadi, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan alam sekitar ini, syarikat pemula dari Korea Selatan, DeepX, tampil dengan pendekatan berbeza.
Berbanding memberi tumpuan kepada sistem penyejukan pusat data, DeepX berusaha mengurangkan haba sejak dari peringkat cip AI itu sendiri.
Syarikat itu mendakwa, pemproses AI mereka mampu beroperasi sehingga 100 darjah Fahrenheit (u 37.8°C) lebih sejuk berbanding cip pesaing lain.
Bagi membuktikan cip mereka jimat tenaga sekali gus menghasilkan haba yang lebih rendah, DeepX menunjukkan video yang membandingkan model cip AI DX-M1 keluarannya dengan cip AI pesaing, menjalankan YOLOv5_640x640 pada 30fps dengan mentega diletakkan di atas 2 cip tersebut.
Hasilnya, selepas 10 minit, mentega pada cip DX-M1 masih kekal bentuknya, tidak mencair.
Sebaliknya, ia berbeza pada cip pesaing yang sekali gus menunjukkan beberapa kelebihan teknologi yang ada pada cip DeepX.

Keupayaan tersebut berpotensi mengurangkan keperluan penyejukan yang kompleks yang pastinya membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan air.
Ini menjadikan teknologi cip DeepX sebagai salah satu penyelesaian yang boleh menyokong pembangunan AI yang lebih lestari pada masa hadapan.
DeepX juga telah mendapat pengiktirafan industri apabila Hyundai Motor dan Kia Corporation akan turut bekerjasama untuk pembangunan teknologi AI pada peranti untuk platform robot.
DeepX kini sudah pun memulakan pengkomersialan barisan cip AI mereka untuk ditawarkan kepada industri dengan turut melancarkan generasi kedua cip AI DX-M2 yang dibina pada proses 2nm Samsung Foundry.

{suggest}
Syarikat Cip Korea Selatan Bangunkan Cip AI Rendah Haba Hingga Tidak Mencairkan Mentega WISER.MY.