by Oh! Semput
TUGAS menyelamat sudah sebati dengan jiwanya menyebabkan beliau tidak 'berkira' menolong mangsa kemalangan ketika hari cutinya.
Malah, dengan kepakaran dimiliki, Pegawai Bomba Kanan 1 Alwi Ismail, 50, berupaya menyelamatkan mangsa tersepit hanya menggunakan 'jack' kereta dan tanpa bantuan peralatan khas bomba.
Kejadian berlaku pada 3.30 petang di Kilometer 57 Jalan Gua Musang-Lojing ketika beliau dalam perjalanan dari Terengganu untuk pulang ke rumahnya di Pantai Remis, Perak.
Beliau yang bertugas sebagai Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis terserempak dengan kemalangan itu yang membabitkan Proton Iswara dan lori tangki.
"Saya bersama keluarga saya ketika itu dari Kampung Pulau Manis, Terengganu untuk pulang ke rumah di Perak. Ketika tiba, kemalangan sudah hampir setengah jam berlaku dan melihat orang ramai cuba membantu mengeluarkan pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun.
"Pemandu itu tersepit di tempat duduknya selepas bertembung dengan lori tangki. Malangnya selepas hampir 20 minit, tiada yang dapat mengeluarkan mangsa sehinggalah saya tiba dan alat yang ada hanyalah 'jack' yang sentiasa disimpan dalam kereta saya.
"Alat itu saya gunakan untuk mengopek bahagian depan kereta yang menyebabkan kaki mangsa tersepit. Kaedahnya sama ketika dalam tugas penyelamatan yang dibantu alatan canggih.
"Alhamdulillah dalam tempoh 10 minit, dia dapat dikeluarkan dan segera diberi rawatan awal sebelum ambulans tiba. Orang ramai juga membantu saya ketika itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alwi sudah berkhidmat selama 27 tahun mengakui pengalaman banyak mengajarnya menjadi cekap dan sebelum ini beliau menjadi jurulatih bomba selama 14 tahun.
Jelasnya, dalam kes itu, nyawa mangsa dalam bahaya sekiranya kakinya masih tersepit dalam tempoh lebih lama dan dia tidak mendapatkan rawatan segera.
"Syukur saya melalui lokasi tepat pada masanya memandangkan kawasan itu tidak mempunyai liputan telefon. Tugas saya bukan hanya ketika menyarung seragam bomba, sebaliknya di mana-mana yang memerlukan," katanya yang memberitahu mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang dan dilaporkan stabil.