by Oh! Semput
Sebagai ibu bapa, kita sering tertunggu-tunggu setiap perkembangan bayi.
Dari mula menyusu, makan, memberi respon, meniarap, duduk, merangkak, berjalan, bercakap dan sebagainya. Ini membuatkan kita rasa bangga melihat semua perkembangan tersebut.
Kali ini, kami akan berkongsi maklumat tentang perkembangan bayi merangkak.
Usia bayi mula merangkak berbeza-beza bagi setiap bayi bergantung pada perkembangan dan keadaan fizikal mereka.
Secara amnya, bayi mula merangkak di usia 7 hingga 10 bulan. Bermula dari meniarap, mereka akan mula berguling dan membuat gerakan bersahaja.
Tahap bayi merangkak juga berbeza-beza.
Ada yang mula dengan menggerakkan dada, perut, jari kaki malah kepala.
Apa sahaja anggota badan yang boleh bergesel dengan lantai, malah ada yang mula dengan posisi duduk!
Jangan terlalu risau, kerana bayi memang tidak akan mudah menyerah kalah dalam mencuba sesuatu baru.
Jadi, jangan panik melihat mereka terjatuh atau terhantuk semasa hendak cuba bergerak.
Dengan mengangkat dan menampung kepala, mereka belajar mengimbangkan badan dalam posisi merangkak hingga mereka betul-betul dapat merangkak.
Mungkin anda rasa resah atau rimas melihat si kecil gagal berulang-kali dalam percubaannya untuk merangkak.
Dengan ada kalanya dia menangis kerana penat cuba mengangkat kepala hingga tidak sengaja terhantuk ke lantai.
Sebenarnya, apa yang terbaik ialah anda membiarkan dia cuba sendiri hingga berjaya.
Lihat 3 cara berikut tentang bagaimana anda boleh membantu bayi anda merangkak:
Semasa bayi anda tidak tidur, letakkan dia dalam posisi meniarap. Latihan meniarap boleh dilakukan walaupun bayi belum bersedia untuk merangkak.
Dan ketika dalam posisi meniarap, mainlah dengannya. Mengangkat kepala dan menggerakkan kaki di dalam posisi ini akan melatih otot perut yang amat penting semasa merangkak nanti.
Foto ehsan: Wikimedia
Guna mainan sebagai umpan untuk menarik perhatian bayi anda sedang cuba merangkak. Cara ini akan memberi motivasi kepadanya untuk terus cuba merangkak.
Namun, hati-hati, proses ini nampak remeh tapi sebenarnya ia hal yang sangat besar untuk mereka hingga boleh terjatuh dalam beria mendapatkan umpan.
Seiring dengan melatih mereka merangkak, latih juga pendengaran dan penglihatan mereka.
Gunakan umpan muzik, suara panggilan, tepuk tangan bagi meransang deria pendengaran. Gunakan objek dengan warna kontras untuk melatih penglihatan mereka.
Pastikan tempat mereka belajar merangkak adalah selamat. Pastikan juga tempat mereka belajar merangkak adalah rata agar tidak menyukarkan mereka mencapai keseimbangan.
Jangan biarkan mereka berlatih merangkak di atas tilam yang terlalu lembik hingga mereka menjadi tidak seimbang.
Kawasan persekitaran mereka belajar merangkak juga harus bersih dan selamat. Contohnya pastikan tiada wayar barangan elektrik dan juga benda-benda yang tajam.
Mereka akan memasukkan segala benda yang dijumpainya ke dalam mulut.
Bayi anda belum menunjukan tanda-tanda ingin mula merangkak?
Usah terlalu risau pada peringkat awal. Seperti kita mula-mula mempelajari perkara baru, bayi juga memerlukan masa untuk mencuba gerakan baru di dalam pertumbuhannya.
Sebelum menguji kekuatan tangan dan kaki, mereka akan mencuba dengan pelbagai cara lain dahulu.
Lihat video bayi 6 bulan yang mula belajar merangkak ini:
Perlu diingatkan di sini yang setiap bayi menggunakan gaya yang berbeza untuk merangkak.
Begitu juga dengan peringkat umur mula merangkak, jadi jangan tetapkan di dalam minda yang bayi anda harus tahu sama seperti bayi orang lain.
Tetapi, jika hingga mencapai usia 10 bulan, bayi tidak menunjukkan tanda-tanda belajar merangkak, dapatkan nasihat doktor bayi anda.
Mungkin ada masalah dengan otot atau perkembangan badan mereka yng perlu diberi perhatian.
Selalunya, bayi pramatang mempunyai masalah lambat merangkak, tetapi tidak semestinya.
: BabyCenter.com, Parents.com, theAsianParent Indonesia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Tahap Perkembangan (Milestone) Bayi 0-12 Bulan Dalam Jadual
Anak Lambat Berjalan? Ini Mungkin Sebabnya
Fasa Bayi Memasukkan Benda Ke Dalam Mulut – Bagaimana Pastikan Keselamatannya?