12.12 Shopee Voucher

Tampung kos operasi RM5 juta

by Oh! Semput


HOME Posted on 22 Nov 2020 14:30:16



Kuala Lumpur: "Saya perlu membayar kos operasi hampir RM5 juta setiap bulan dan tidak memperoleh sebarang pendapatan sepanjang penularan Covid-19.

"Kini, saya terpaksa hentikan sementara operasi bas ekspres dan notis cuti tanpa gaji kepada semua 300 pekerja sudah diedar, ia keputusan yang sukar tetapi terpaksa dilakukan."

Itu luahan Pengarah Urusan Ekspres Perdana Laili Ismail berhubung keputusan syarikatnya untuk menghentikan sementara operasi berikutan kadar penjualan tiket yang sangat rendah.

  Beliau berkata, sepanjang tempoh pandemik ini, syarikat bas ekspres berkenaan beroperasi dalam keadaan rugi dan rutin perjalanan harian juga terpaksa dikurangkan.

"Untuk pembayaran ansuran bas saja, saya perlukan kira-kira RM1 juta, petrol kira-kira RM1 juta, gaji pekerja kira-kira RM700,000 selain sejumlah besar lagi untuk kos baik pulih bas sedia ada.

"Kami memiliki 88 bas dua tingkat dan rutin perjalanan harian adalah dari Kota Bharu, Kelantan ke Lembah Klang," katanya.

Menurut Laili, sebelum pandemik, rutin bas membabitkan 40 perjalanan pergi dan balik setiap hari namun sejak penularan Covid-19, hanya empat perjalanan sehari sahaja dilakukan.

Katanya, penumpang untuk empat perjalanan itu pula sangat minimum.

"Oleh sebab itu, saya terpaksa menghentikan sementara operasi syarikat kami kerana tidak mahu lagi menambah bebanan hutang, ia memang keputusan yang sangat berat.

  "Kami faham ada kakitangan yang bergantung kepada pendapatan bekerja dengan syarikat kami dalam meneruskan kehidupan harian," katanya.

Laili turut mencadangkan kepada kerajaan supaya tempoh moratorium dilanjutkan bukan untuk tiga atau enam bulan sebaliknya dibuat sehingga selesai fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau Bersyarat (PKPB).

"Jika tiada bantuan daripada kerajaan, besar kemungkinan pengusaha bas ekspres akan berdepan dengan kebankrapan akibat tidak mampu membayar komitmen bulanan kepada institusi kewangan," katanya.

Kelihatan deretan bas persiaran dan bas sekolah tersusun di parkir selepas tidak beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kelihatan deretan bas persiaran dan bas sekolah tersusun di parkir selepas tidak beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

2,000 bas 'tak laku', 138 pengusaha bakal gulung tikar

Tiada sebuah daripada kira-kira 2,000 bas diusahakan 138 pengusaha bas persiaran di bawah Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia dijual bagi menampung kerugian dialami.

Presidennya, Steven Chong berkata, pada masa sama, tiada pihak juga yang mahu membeli bas persiaran berkenaan kerana semua perniagaan berkaitan pengangkutan terjejas akibat Covid-19.

"Bas berkenaan juga sebahagiannya sudah berusia dan perlukan kos tinggi untuk penyelenggaraan.

"Pada masa sama, pengusaha juga tidak mahu menjualnya kerana ramai yang sudah berbelas tahun, malah ada yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan ini," katanya.

Pada masa sama, Steven berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan 138 pengusaha berkenaan gulung tikar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

"Kami kehilangan pendapatan dalam jumlah besar dan pada masa sama, perlu menanggung kos penyelenggaraan bas.

"Ia menyebabkan segelintir pengusaha bas persiaran terpaksa membuat pinjaman dengan syarikat kredit komuniti bagi melunaskan komitmen bulanan," katanya.

Menurut Steven, bebanan hutang pula semakin berganda dan secara tidak langsung menjadi tekanan kepada pengusaha.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kami merasakan seperti ada harapan baharu untuk memulihkan perniagaan ini.

"Tetapi kami tidak menyangka PKP fasa kedua dilaksanakan dan membuatkan kami berasa seperti 'terduduk'.

"Kami sangat risau, jika keadaan berterusan, pengusaha tidak mampu bertahan dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan," katanya.

Steven berkata, ada pengusaha sudah beralih bidang seperti menjadi penghantar makanan dan pemandu e-hailing bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Persatuan harap, kerajaan dapat membantu pengusaha bas persiaran menerusi pemberian bantuan kewangan.

"Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban pengusaha bas," katanya.

12.12 Birthday Sale 2020

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News