Cara Tanam Limau Kasturi yang Betul dan Mudah

by Oh! Semput


42
SHARES
541
VIEWS
Posted on 30 Nov 2020 11:30:08

Bagaiamanakah cara tanam limau kasturi yang betul? Artikel ini akan membincangkan cara tanam limau kasturi dari aspek tanah, pengunaan baja, penjagaan beberapa aspek yang lain.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan Pokok Limau Kasturi
  2. Cara Penanaman Pokok Limau Kasturi
    1. Penanaman di atas tanah
    2. Penanaman di dalam pasu
  3. Penjagaan Pokok
  4. Pembajaan
  5. Kawalan Perosak dan Penyakit
  6. Penuaian Buah
  7. Penutup

Pokok Limau Kasturi


Pokok limau kasturi atau nama saintifiknya, Citrus microcarpa adalah sejenis pokok renek dan ianya mampu mencapai ketinggian sekitar 3-6m. Ianya amat sinonim dengan masyarakat benua Asia Tenggara. Boleh dikatakan hampir setiap rumah di perkampungan Malaysia pasti ada menanam tanaman ini di halaman belakang rumah mereka. Terdapat pelbagai kegunaan limau kasturi ini dalam kehidupan masyarakat terutamanya adalah dalam masakan dan minuman.

Kini, permintaan terhadap limau kasturi amat memberansangkan di kawasan bandar. Hal ini berlaku kerana warga bandar sukar mendapatkan bekalannya. Dengan harga terkini sekitar RM8-9/kg, ianya boleh membuka peluang kepada pengusaha dan petani luar bandar untuk memulakan penanaman tanaman ini dengan membawa pulangan yang lumayan.  Bagi memulakan langkah mengusahakan tanaman ini, kita perlulah mempunyai ilmu dalam penanamannya. Melalui artikel kali ini, saya akan merungkai cara-cara penanaman limau kasturi dengan betul dan mudah untuk anda semua.

Penanaman Limau Kasturi


Ianya boleh ditanam di pelbagai jenis tanah tetapi lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis loam berpasir. Ianya juga sangat sesuai ditanam pada iklim panas dan lembap seperti di Malaysia. Sekiranya anda ingin menanamnya, perkara pertama yang perlu disediakan adalah biji benih limau kasturi. Ianya boleh ditanam menggunakan biji benih dan melalui anak pokok yang ditut.

Kebiasaannya, ramai pengusaha yang lebih gemar menggunakan anak pokok yang diperolehi daripada kaedah tut kerana peratus kejayaan penanamannya yang lebih baik dan tinggi.

Penanaman di atas Tanah

Untuk penanaman di atas tanah, anda perlulah menyediakan lubang berukuran 60cm panjang x 60cm lebar x 60cm dalam. Untuk jarak antara tanaman di atas tanah, yang paling sesuai adalah 6m x 6m bertujuan bagi mengelakkan persaingan dengan tanaman lain.

Setelah lubang digali, gaulkan tanah yang digali tadi dengan campuran tahi ayam, baja akar ataupun triple super phosphate dan kapur. Gaulkan ketiga-tiga bahan yang disebut tadi sebanyak 100g bagi setiap bahan bersama tanah sehingga sebati. Kemudiannya, tanam anak pokok yang telah ditut ke dalam lubang yang telah disediakan dan padatkan tanah pada keliling anak pokok.

ladang limau kasturi

Cara Tanam pokok Limau Kasturi dalam Pasu

Manakala untuk penanaman di dalam pasu pula, ianya adalah lebih mudah untuk dilakukan. Pertama sekali, anda perlu menyediakan tanah campuran. Tanah campuran tersebut mengandungi tanah, tahi ayam atau kompos, pasir menggunakan nisbah asas penanaman iaitu 3:2:1. Apabila tanah campuran selesai disediakan, isikan tanah tersebut ke dalam pasu sehingga 5cm daripada permukaan pasu. Akhir sekali, anak pokok sudah boleh ditanam terus ke dalam pasu.

pokok limau kasturi

Penjagaan Bagi Menjamin Kualiti Limau Kasturi


Bagi memastikan jaminan kualiti limau kasturi yang dihasilkan adalah yang terbaik, perkara penting secara umum untuk semua jenis tanaman adalah keperluan air. Untuk tanaman limau kasturi, ianya memerlukan air secukupnya untuk pertumbuhan yang optimum. Justeru itu, lakukan penyiraman anak pokok 2 kali sehari iaitu pada awal pagi dan sebelah petang. Untuk makluman umum, pertumbuhan limau kasturi akan terjejas sekiranya kawasan tanaman terlalu banyak air dan pastikan ianya tidak terendam oleh air.

Selain itu untuk menambahbaik lagi hasil limau kasturi yang ditanam, kerja-kerja cantasan atau pruning hendaklah dijalankan pada pokok kerana dikhuatiri bahagian dahan yang dijangkiti penyakit akan menyebabkan keseluruhan pokok terjejas oleh penyakit yang sama. Kerja-kerja yang dimaksudkan itu adalah seperti pembuangan tunas air dan dahan yang berpenyakit serta kurang sihat. Cantasan juga dilakukan bertujuan untuk mengawal struktur kanopi pokok limau. Hal yang demikian adalah disebabkan pokok yang terlalu tinggi akan menyukarkan serta melambatkan proses penuaian buah limau kasturi.

Kerja merumput juga perlu dilaksanakan dalam penanaman pokok limau kasturi pada peringkat awal penanaman. Ini kerana rumput yang tumbuh akan mengganggu pertumbuhan anak pokok limau. Pada peringkat awal tersebut, anda hendaklah melakukan kerja merumput dengan mencabut rumput menggunakan tangan ataupun membalikkan sahaja tanah yang berumput tersebut dengan menggunakan cangkul. Setelah pokok sudah besar dan matang, anda boleh menggantikan kerja merumput tersebut dengan kaedah semburan bahan kimia atau racun pada rumput yang tumbuh. Rumput juga boleh dikawal pada peringkat awal menggunakan sungkupan.

Pembajaan Limau


Bagi menghasilkan limau kasturi yang berkualiti, pembajaannya perlulah dijaga rapi untuk tujuan pertumbuhan yang baik dan sekata dengan tanaman lain. Untuk tanaman ini, program pembajaannya hanya dilakukan sebanyak 2 kali setahun sahaja. Pada peringkat awal sebelum pokok mencecah umur setahun, lakukan 2 kali pembajaan dengan menggunakan baja Urea sebanyak 50g sepokok. Manakala untuk tanaman limau kasturi di dalam pasu pula, menggunakan 20g bagi setiap pokok. Setelah pokok melebihi umur 1 tahun, pembajaan dilakukan dengan menggunakan baja tahi ayam reput pada kadar 5kg sepokok dan kerja tersebut dijalankan sebanyak 2 kali setahun.

Kawalan Perosak dan Penyakit


Antara perosak pokok dan buah bagi tanaman ini adalah kutu trip, lalat buah, pelombong daun, pengorek buah, dan kepinding. Manakala untuk penyakit pula, tanaman ini sering diserang dengan penyakit greening, tristeza, phythoptora, keruping, dan kulapuk hitam.

Kawalan bagi perosak dan penyakit ini adalah dengan menggunakan racun yang mengandungi bahan aktif seperti dimethoate dan malathion. Dengan mengamalkan pemangkasan secara berkala dan penjagaan dari segi kebersihan dalam kawasan kebun secara intensif, ianya juga dapat mengurangkan risiko pokok dan buah limau nipis diserang penyakit dan perosak.

Lalat buah

Lalat buah

Pelombong Daun

Pelombong Daun

Kepinding

Kepinding

Greening

Greening

Keruping

Penuaian Hasil


Secara umumnya, pokok limau kasturi akan mula berbuah pada peringkat umur 2-3 tahun sekiranya ditanam menggunakan benih tut. Selain itu, hasil tuaian bagi pokok limau kasturi adalah berbeza dan akan terus meningkat setiap tahun. Pada umur 3 tahun, hasil yang boleh dituai adalah sekitar 100g sepokok untuk setiap kali kutipan.

Manakala untuk pokok yang berumur 5-10 tahun pula, ianya dapat menghasilkan 500-800g buah limau bagi setiap pokok untuk setiap kali kutipan. Untuk memetik buah limau kasturi, kaedah yang betul adalah dengan menggunakan pisau yang tajam. Hal ini kerana sekiranya memetiknya dengan menggunakan tangan akan mengakibatkan kecedaran pada dahan dan keguguran bunga yang baru tumbuh.

Penutup


Secara konklusinya, tanaman ini adalah wajar untuk diusahakan serta dimajukan berikutan daripada permintaan yang tinggi. Pada pendapat saya, ianya sangatlah mudah untuk diusahakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Tambahan pula dengan peningkatan hasil setiap tahun, ianya amat menguntungkan untuk tempoh jangka masa panjang. Peluang sudah terbentang, samada mahu atau tidak untuk diusahakan. Oleh itu, marilah bersama memanfaatkan ilmu yang dicurahkan melalui artikel ini dan mulakan berbakti kepada tanah.

Diharap artikel cara tanam pokok limau kasturi ini akan memberikan idea pada para pembaca bagaimana cara penanaman pokok limau kasturi yang betul.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Daun KesumBuah NagaLimau Purut
AvocadoPokok KariKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Rujukan:

  1. Jabatan Pertanian Malaysia (2006). Panduan menanam limau kasturi. No: BP 30/02.06/15R.
  2. Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia (1999). Pakej Teknologi Limau.

Cara Tanam Limau Kasturi yang Betul dan Mudah Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts