KPT tegas bendung kegiatan guna gelaran 'Dr' palsu

by Oh! Semput


HOME Posted on 26 Apr 2017 11:01:39



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil langkah tegas membendung amalan menggunakan gelaran akademik seperti 'Dr' atau 'doktor falsafah' (PhD), 'profesor' dan 'Ir' palsu dalam kalangan pensyarah universiti.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata kefahaman tentang kepentingan nilai integriti perlu diberikan secara berterusan kepada institusi pengajian tinggi di negara ini.

"Universiti yang terlibat sudah mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan 'title' palsu dan mereka kini dalam proses mahkamah.

"Kita perlu periksa dahulu. Setiap universiti telah memaparkan kepada umum senarai nama-nama mereka yang mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti mereka," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Idris berkata sebagai contoh, individu yang memiliki gelaran doktor kehormat masih boleh menggunakan gelaran 'Dr' namun ia hendaklah ditulis dalam kurungan (Dr) gelaran tersebut sebagai tanda pengiktirafan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata tahap kesedaran peminjam untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat meningkat melalui pelbagai inisiatif kementerian itu.

Jumlah bayaran balik yang diperolehi pada dua bulan pertama tahun ini sebanyak RM680 juta .

Peningkatan itu berbanding RM353 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

PTPTN kekal dengan polisi sedia ada iaitu berkaitan penahanan bayaran pinjaman kepada pelajar yang memperolehi PNGK 2.0 dan ke bawah bagi memastikan peminjam kekal cemerlang dalam bidang akademik dan memastikan keupayaan pembayaran balik daripada pelajar selepas tamat pengajian.

Bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, Idris menjelaskan sehingga Februari tahun ini, seramai 42,425 peminjam dengan amaun berjumlah RM1.26 bilion telah mendapat manfaat dari Dasar Pinjaman Boleh Ubah yang diperkenalkan, iaitu pengecualian bayaran balik bagi mereka yang mendapat Ijazah Sarja Muda Kepujian Kelas Pertama.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 30,918 peminjam adalah daripada universiti awam (UA) manakala 11,507 peminjam adalah daripada IPTS," katanya. -- BERNAMA

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News