Teleskop Angkasa James Web

by Oh! Semput


9
SHARES
117
VIEWS
Posted on 06 Dec 2022 18:00:12

Apakah kegunaan teleskop James Web? Artikel ini akan membincangkan berkenaan teleskop ini serta kegunaannya.

Pengenalan

Manusia pada hari ini telah berjaya menterjemahkan apa yang disangkakan sebagai keajaiban orang zaman dahulu  iaitu kebolehan untuk mencerap bintang-bintang di pelosok angkasa menjadi realiti.

Sehingga ke hari ini, manusia telah berjaya melintasi sistem suria dan mampu menghantar satelit berteknologi tinggi ke bintang yang terdekat. Antara teleskop tercanggih yang berjaya dihantar oleh manusia ialah Teleskop Angkasa Hubble, Teleskop Angkasa Spitzer dan Teleskop Angkasa James Webb yang baru sahaja dilancarkan pada Disember 2021.

Perkara yang Dilihat Melalui Teleskop

Teleskop Angkasa James Webb telah berjaya merakam imej terawal pembentukan alam semesta kita dan secara rasminya mendedahkan imej-imej angkasa yang mempersonakan iaitu medan angkasa yang jauh dan paling jelas yang pernah dirakam oleh manusia setakat ini seperti gugusan galaksi yang berusia 100 juta tahun selepas dentuman besar (big bang) dan Nebula atau awan gergasi yang terdiri daripada selumbung debu dan gas yang melahirkan bintang.

Selain itu, Teleskop Webb juga berjaya mengesan ciri-ciri atmosfera eksoplanet gas gergasi yang jauh lebih besar dari planet musytari. Sebagai teleskop optik yang terbesar di dunia, Teleskop Webb mempunyai resolusi dan sensitiviti yang sangat tinggi yang membenarkannya untuk mencerap objek angkasa dan jasad samawi yang terlalu jauh dan tua. Perkara ini tidak mampu dilakukan oleh Teleskop Hubble.

Bagaimana Teleskop ini Berfungsi?

Teleskop Angkasa James Webb ialah koleksi kompleks instrumen saintifik yang direka untuk menjawab beberapa persoalan terbesar dalam astrofizik. Secara amnya, Teleskop ini mempunyai empat instrumen yang terkandung dalam Modul Instrumen Sains Bersepadu (ISIM) yang terletak di belakang cermin utama teleskop ini.

Kesemuanya direka untuk memerhati cahaya inframerah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Gelombang inframerah ialah panjang gelombang cahaya yang terletak pada spektrum electromagnet. Sebagai contoh, kita dapat merasakan cahaya inframerah sebagai satu bentuk haba. Untuk membenarkan teleskop ini mencerap di dalam spektrum inframerah, teleskop ini dilengkapi dengan pelindung cahaya matahari dan suhu teleskop ini perlu dipastikan berada di bawah 50K untuk mengelak daripada terkena radiasi inframerah yang akan memberi potensi kerosakan pada intrumen dalaman Webb. 

Teleskop Webb menghantar data sains ke bumi dengan menggunakan pemancar radio berfrekuensi tinggi. Antena radio besar yang merupakan sebahagian daripada deep space network, NASA, akan menerima isyarat dan memajukannya ke Pusat Sains dan Operasi Webb di Institut Sains Teleskop Aggkasa di Amerika Syarikat. Hasil daripada data yang dihantar Webb, saintis telah menerima imbasan imej-imej angkasa jauh dan terawal. 

Misi Utama JWST

  • untuk mencari cahaya dari bintang-bintang angkasa dan galaksi-galaksi pertama yang terbentuk  selepas upan Besar, 
  • mengkaji pembentukan bintang-bintang dan sistem-sistem planet,  
  • mengkaji pembentukan dan evolusi galaksi,  
  • mengkaji sistem-sistem planet dan asal kehidupan.

Penemuan Tiang-Tiang Kejadian (Pillars of Creation)

Pernahkah anda terfikir tentang keluasan sebenar alam semesta ini ? Bagaimana jutaan bintang yang bergemerlapan menerangi ruang angkasa kita terhasil ? Terletak kira-kira 7000 tahun cahaya daripada bumi, terdapat satu kawasan yang dinamakan sebagai Tiang-Tiang Kejadian (Pillars of Creation).

Kawasan ini dinamakan sedemikian kerana ianya dipercayai menjadi tempat kelahiran bintang-bintang baharu. Tiang-Tiang Kejadian ini terletak di Eagle nebula, di dalam buruj serpens. Sekilas fakta, imej ini tidak boleh dilihat dengan menggunakan mata kasar atau teleskop normal. 

Teleskop Hubble merupakan teleskop yang pertama yang dapat merakam imej menakjubkan ini dengan menggunakan spektrum cahaya nampak (visible light), yang mana kita dapat melihat awan hitam dikelilingi oleh gas berwarna hijau seperti landskap sains fiksyen. Selang beberapa tahun berikutnya, imej yang sama telah berjaya dirakam oleh Teleskop Sangat Besar (Very Large Telescope) dengan menggunakan spektrum cahaya inframerah.

Dengan imej yang baru ini, kita dapat melihat gugusan bintang yang tersembunyi disebalik gas dan debu yang sangat padat dan tebal. Saintis telah melabelkan kawasan ini sebagai tapak semaian bintang yang mana ianya merupakan kawasan debu bintang terkumpul atas faktor tarikan graviti yang sangat kuat lalu menciptakan bintang baharu seperti matahari. Hal ini merupakan  faktor utama tempat ini dinamakan sebagai tiang-tiang kejadian.

Pada Oktober 2022, NASA telah mengeluarkan imej terbaru Tiang- tiang Kejadian yang berjaya diarakam oleh Teleskop Angkasa James Webb (James Webb Space Telescope). Imej ini memaparkan landskap yang sangat menakjubkan dan dipenuhi dengan ribuan bintang yang berwarna-warni.

Di sini, anda dapat melihat latar belakang ruang angkasa yang sangat cerah dengan beribu-ribu bintang muncul di seluruh pandangan. Kita juga dapat melihat struktur-struktur yang kecil dan malap yang jauh dan terdalam di imej ini, yang mana ianya tidak pernah dilihat oleh manusia sebelum ini.

Teleskop Webb juga telah berjaya mendedahkan fasa terawal dan cepat pembentukan bintang yang sebelum ini tersembunyi dan dapat melihat bintang yang baru terbentuk dan mengkaji gas dan debu yang membentuknya. Menerusi imej ini juga, saintis menganggarkan usia bintang muda ini baru beumur ratusan tahun yang mana ianya dianggap sebagai bintang yang sangat muda jika dibandingkan dengan usia bintang matahari di sistem suria kita yang berusia 4.6 billion tahun

Proses Kelahiran Bintang

Proses kelahiran bintang bermula dengan awan gergasi yang terdiri daripada gas dan debu yang mempunyai tahap kesejukan yang sangat tinggi. Awan ini mengandungi benih-benih kelahiran bintang dan planet seperti molekul hidrogen yang bertukar kepada gas helium yang biasanya bergerak pada kelajuan tinggi menjadi perlahan dan bergumpal kerana tarikan graviti.

Butiran kecil silikat, iron dan bahan yang mempunyai kandungan karbon yang tinggi, dikumpul bersama dan diklasifikasikan sebagai debu. Graviti akan menarik debu dan gas bersama-sama dan membentuk protostar iaitu fasa awal kejadian sebuah bintang.  Apabila gas-gas berkumpul, suhu akan terus meningkat dan menjadi panas. Bintang baharu akan mula terbentuk apabila mencapai suhu yang sangat panas lalu memulakan tindak balas termonuklear. Proses ini akan membebaskan tenaga dan memastikan bintang sentiasa panas.

Teleskop Webb dijangka akan mendedahkan lebih banyak imej-imej yang menarik pada masa akan datang dan secara tidak langsung akan meningkatkan pengetahuan kita mengenai angkasa ini. Penjelajahan ke alam kosmik sentiasa menjadi cabaran baru yang perlu diterokai oleh manusia untuk memahami kejadian alam semesta dengan lebih baik. 

Rujukan

  1.  Fisher, Alise; Pinol, Natasha; Betz, Laura (11 July 2022). “President Biden Reveals First Image from NASA’s Webb Telescope”. NASA. Archived from the original on 12 July 2022. Retrieved 12 July 2022.
  2. Lallo, Matthew D. (2012). “Experience with the Hubble Space Telescope: 20 years of an archetype”. Optical Engineering. 51 (1): 011011–011011–19. arXiv:1203.0002.
  3.  Zimmer, Carl (2 July 2022). “Webb Telescope Will Look for Signs of Life Way Out There – The first question astronomers want to answer about exoplanets: Do they have atmospheres friendly to life?”. The New York Times. Archived from the original on 2 July 2022. Retrieved 2 July 2022.
  4.  “Radiative Feedback from Massive Stars as Traced by Multiband Imaging and Spectroscopic Mosaic” (PDF). Archived (PDF) from the original on 15 July 2022. Retrieved 17 March 2022.
  5.  Clark, Stephen (30 September 2021). “After two decades, the Webb telescope is finished and on the way to its launch site”. Spaceflight Now. Archive from the original on 6 October 2021. Retrieved 6 October 2021.

Teleskop Angkasa James Web Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts