LRA Telibong Fasa Dua tingkat bekalan

by Oh! Semput


HOME Posted on 31 Oct 2017 13:01:03



KOTA KINABALU: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Telibong Fasa Dua di Tuaran membabitkan kos kira-kira RM400 juta yang dijangka dimulakan tahun depan bagi memenuhi keperluan air bersih kepada pengguna di bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Wilis Ansoi, berkata projek itu bakal meningkatkan kapasiti loji berkenaan kepada 160 juta liter sehari (MLD) berbanding 80 juta MLD ketika ini.

Beliau berkata, kapasiti sedia ada tidak dapat menampung keperluan air bersih yang meningkat berikutan pertumbuhan pesat bandar raya Kota Kinabalu, menyebabkan ada kawasan berdepan gangguan bekalan air.

"Beberapa kawasan seperti di Bandar Sierra dan Taman Rimba di Manggatal menghadapi masalah bekalan air ketika ini disebabkan tekanan air rendah tetapi pihak JANS sudah mengambil tindakan untuk mengatasi keadaan itu.

"Bagaimanapun, bagi langkah jangka panjang, kerajaan sudah meluluskan peruntukan kira-kira RM400 juta untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Telibong Fasa Dua di Tuaran dan kita berharap ia dapat dimulakan tahun depan dan siap dalam masa tiga tahun.

"Usaha menaik taraf loji berkenaan kepada 160 MLD perlu kerana ketika ini bandar raya Kota Kinabalu berdepan masalah kekurangan bekalan air," katanya ditemui pemberita pada Persidangan Perancangan Negeri Sabah sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gangguan bekalan air yang dihadapi ratusan penduduk di Bandar Sierra dan Taman Rimba, Manggatal sejak semalam.

Bekalan air di bandar raya ini disalurkan menerusi dua loji utama iaitu Loji Rawatan Air Telibong, Tuaran yang merawat air dari Sungai Tuaran dan Loji Rawatan Air Empangan Babagon di Penampang.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ketika ditemui pemberita berkata kerajaan mengambil berat masalah bekalan air yang dihadapi penduduk dan tindakan mengatasinya diambil sewajarnya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, berkata JANS sudah diarah supaya bertindak segera menangani masalah berkenaan bagi memastikan rutin harian penduduk tidak terjejas akibat ketiadaan bekalan air.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...