17 Tempat Menarik Di Tawau. Fuh! Banyak Betul Tempat Rare Di Sini!

by Oh! Semput


HOME Posted on 11 Sep 2019 14:01:24



Tawau merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Selain daripada alam semula jadi yang menjadi tempat menarik yang terdapat di Sabah, anda juga mesti teruja untuk shopping di sini memandangkan Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di bahagian selatannya. Malah di Tawau juga terdapat tempat bersejarah kerana kawasan ini pernah dijadikan sebagai penempatan orang Jepun sewaktu Perang Dunia Ke-2.

Jom kita lihat 17 tempat menarik di Tawau yang boleh anda lawati sewaktu percutian anda di sini.

1) Masjid Besar Tawau

Masjid Besar Tawau

Imej via wikimapia

Masjid Besar Tawau juga dikenali sebagai Masjid al-Kauthar. Ia adalah sebuah masjid yang terbesar di negeri Sabah dengan kemampuan untuk menampung sehingga 17,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Bangunan masjid ini memiliki 2 tingkat, tingkat pertama merupakan ruang solat lelaki dan tingkat ke 2 pula untuk jemaah perempuan. Kos yang dikeluarkan untuk membina masjid yang besar ini adalah sebanyak RM31.5 juta dan siap sepenuhnya pada Oktober 2002. Masjid ini telahdirasmikan oleh YDPA pada ketika itu iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Masjid ini didirikan bersebelahan dnegan laut, maka sudah pasti pemandangan di sekitar masjid ini sangat indah dan menyamankan.

Lokasi: Sabindo Square, 91000 Tawau, Sabah

 

2) Tugu Peringatan Tentera Jepun

Tugu Peringatan Tentera Jepun

Imej via wikipedia

Untuk makluman anda, ketika Perang Dunia Ke-2, iaitu sekitar 1940-an, Tawau telah menjadi penempatan bagi orang Jepun dan seterusnya dijadikan tempat pengkebumian mereka.

Tapak perkuburan yang sama ini kini telah diletakkan Tugu Peringatan Tentera Jepun. Kawasan ini sering dilawati oleh pelancong Jepun yang memiliki pertalian kekeluargaan dengan mereka yang terkubur di sini.

Lokasi: Tugu Peringatan Tentera Jepun, Jalan Tanjung Batu, 91000 Tawau, Sabah

3) Tugu Peringatan Kalabakan

Tugu Peringatan Kalabakan

Imej via mymp

Tugu Peringatan Kalabakan adalah sebuah monumen yang telah didirikan untuk memperingati pemergian 11 orang pejuang negara yang telah terbunuh ketika peristiwa konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963. Tugu ini telah dibina pada tahun 1969.

Setelah melawat Tugu Peringatan Kalabakan, anda boleh juga berjalan di kawasan sekitar kampung yang tertua di Kalabakan yang bernama kampung ‘Liasau’ untuk melihat tapak arkeologi yang ada di sini.

Lokasi: Tugu Peringatan Kalabakan, Tawau, Sabah

4) Monumen Menara Loceng

Menara Loceng

Imej via wikiwand

Tahukah anda? Monumen Menara Loceng ini bukan biasa-biasa. Tetapi ia adalah salah satu struktur yang paling bersejarah di Tawau. Monumen ini telah dibina oleh pihak Jepun pada tahun 1921 oleh tawanan perang dengan dana yang diberikan oleh ahli perniagaan Jepun. Sudah hamper 100 tahun usia struktur binaan ini.

Walaupun Namanya Monumen Menara Loceng, tapi pasti anda tertanya-tanya, mana locengnya. Tak perlu susah-susah mencari di mana letak locengnya, kerana loceng ini telah hilang secara misteri.

Lokasi: Hadapan Pejabat Pos 2020, Tawau

 

5) Bukit Gemok

Bukit Gemok

Imej via deskgram

Puncak Bukit Gemok ini berketinggian 428 meter dari paras laut. Bukit ini terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Gemok yang berkeluasan 445 hektar.

Untuk sampai ke puncak, perjalanannya agak mencabar kerana anda perlu melalui jalan yang berbatu-batu, menempuh akar pokok yang besar dan cabaran-cabaran yang lain.

Dalam sekitar 1 jam pendakian anda akan sampai ke laluan kanopi Titian Selara yang merupakan laluan kanopi terpanjang di Sabah dengan kepanjangan 231 meter.

Setibanya anda di puncak bukit, anda akan disajikan dengan pemandangan sekitar Tawau. Sebuah pemandangan yang sangat cantik. Terbayar segala penat Lelah anda mengharungi perjalanan yang berliku untuk sampai ke puncak Bukit Gemok.

Lokasi: Jalan Merotai – Tawau, 91000 Tawau, Sabah

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am–5.00pm)

Harga Tiket: RM1

 

6) Taman Bukit Tawau

Taman Bukit Tawau

Imej via bombasticborneo

Bukit Tawau adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang dapat memberikan kepuasan luar biasa kepada kaki hiking.Ia terletak berdekatan dengan Bukit Gemok.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan semasa berada di sini selain berhiking adalah berkhemah, memerhati burung, bermandi-manda di sungai atau berkelah sambil menikmati pemandangan yang menyegarkan mata.

Nak tahu keistimewaan Taman Bukit Tawau sehingga ia menjadi destinasi paling penting semasa percutian anda di Tawau? Ini kerana, di sinilah terletaknya pokok hutan tropika yang tertinggi di dunia, mata air panas dan air terjun yang indah! Keindahan alam semula jadi sememangnya sangat berharga dan boleh menghilangkan stress. Memang rugi kalua anda tidak singgah ke sini jika anda bercuti di Tawau.

Lokasi:  Tawau Hills Park, Tawau, Sabah

Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak – Kanak RM6

7) Air Terjun Bukit Gelas

Air Terjun Bukit Gelas

Imej via picdeer

Inilah dia salah satu khazanah alam yang tersimpan di dalam Taman Bukit Tawau. Untuk sampai ke Kawasan Air Terjun Bukit Gelas ini, anda perlu berjalan kaki sekitar 2.5 km atau 1 jam dari HQ Taman Bukit Tawau.

Setibanya di kawasan air terjun, anda boleh berkelah atau bermandi-manda di kolam renang semula jadi yang terbentuk daripada pancuran air terjun ini.

Lokasi: Air Terjun Bukit Gelas, Taman Bukit Tawau

8) Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak

Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak

Imej via explore-sabah

Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak berkedudukan agak jauh dari bandar Tawau, dengan perjalanan dalam sekitar 1 jam 40 minit. Jika anda seorang yang cintakan sejarah dan suka mengkaji perkara menarik dan rare di sesebuah Kawasan, jangan lepaskan peluang anda untuk melawat ke Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak.

Tapak Warisan Arkeologi ini merupakan tapak pembuatan tembikar yang terbesar di Asia Tenggara pada beribu tahun yang lampau! Ahli arkeologi telah menemukan berpuluh ribu tembikar tanah di sini. Memang legend!

Selain melawat muzium yang terdapat di lokasi ini, anda juga boleh mendaki sehingga ke puncak Bukit Tengkorak untuk menikmati pemandangan perairan sekitar Pulau Sipadan dari puncak berketinggian 500 kaki.

Lokasi: Bukit Tengkorak Archaeological Heritage Site, Semporna, Sabah

9) Perkampungan Koko Teck Guan

Koko Teck Guan

Imej via sabahtourism

Kebanyakan kita sememangnya gemarkan coklat. Dapat beli coklat di kedai serbaneka pun dah happy, inikan pula dapat beli dan makan coklat segar dari kilang. Memang syok!

Di Muzium Koko Teck Guan, anda berpeluang menyaksikan proses penghasilan coklat di depan mata anda sendiri. Malah anda juga dapat mengetahui info tentang sejarah koko. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan minuman coklat yang panas, bar coklat, pop corn koko, popia koko dan bermacam lagi produk berasakan coklat lain secara terus dari kilang.

Baca artikel ini pun dah boleh buat anda terliur dan terbayang-bayang kesegaran coklat yang anda akan nikmati di Kilang Koko Teck Guan. Jadi, bila anda sudah tiba di Tawau nanti, jangan lepaskan peluang anda untuk singgah ke perkampungan koko ini.

Lokasi: Mile 2, Tanjung Batu Laut, Teck Guan Factory, Tawau

Waktu Operasi: Slot Bermula Pada Pukul 8.30am / 10.00am / 2.00pm / 3.30pm

Harga Tiket: Dewasa RM25 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM15 | Kanak-Kanak Bawah 5 Tahun Percuma

10) Pasar Tanjung Tawau

Pasar Tanjung Tawau

Imej via flickr

Bila bercuti, memang tak sah kalua tak singgah ke tempat yang boleh anda membeli-belah. Di Tawau, Pasar Tanjung adalah destinasi ideal untuk anda bershopping. Di sini terdapat 6,000 gerai yang menjual bermacam-macam produk lokal!

Bermacam-macam produk ada di sini. Sayur? Hasil laut kering? Batik? Peralatan dapur? Buah? Kuih-muih? Uih! Kalau nak senaraikan semua barangan, memang tak cukup 1 post. Selain daripada barangan local, terdapat juga barangan yang didatangkan dari Indonesia diniagakan di sini. Harga? Sudah pasti sangat berpatutan, malah ada yang sangat murah berbanding dibeli di tempat lain.

Selain itu, anda juga boleh singgah ke pasar ikan yang terletak di belakang Pasar Tanjung ni. Di sini terdapat banyak pilihan makanan segar dengan harga yang berkali ganda lebih murah daripada KL!

Lokasi: Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00am–5.00pm)

11) Pasar Minggu Takada

Pasar Minggu Takada

Imej via alindanblog

Nak lihat penduduk, barangan serta makanan tempatan di Tawau, salah satu caranya dengan singgah ke Pasar Minggu Takada. Pasar minggu ini dibuka pada setiap hari Ahad dan terletak di Pertama Commercial Complex yang juga dipanggil Takada.

Antara barangan yang dijual di pasar ini adalah pakaian, pokok-pokok bunga, hasil laut kering, makanan basah, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan bundle dan bermacam-macam lagi. Harga barangan di sini juga murah-murah. Sambil-sambil melihat cara hidup penduduk tempatan di sini, bolehlah anda membeli-belah ole-ole yang boleh dibawa pulang.

Lokasi: Perkarangan Pertama Commercial Complex (Takada), Jalan Apas, Tawau, Sabah

Waktu Operasi: Setiap Hari Ahad Dibuka Seawal 6.00 Pagi Hingga Tengahari

 

12) Maliau Basin

Maliau Basin

Imej via stickyricetravel

Maliau Basin adalah antara khazanah alam semula jadi yang sangat berharga di Tawau. Ia merupakan sebuah kawasan hutan yang sangat terpelihara. Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, kawasan hutan ini disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari atas laut. Maliau Basin juga mendapat nama julukan ‘Sabah’s Lost World’.

Kawasan yang jarang diteroka ini sebenarnya menyimpan beberapa buah air terjun dengan keindahan yang sungguh mempesonakan. Kalau dah namanya tempat yang ‘jarang diteroka’, pasti anda terbayangkan perjalanan ke sini agak mencabarkan? Mencabar ke tak, jom kita tengok macam mana cara untuk anda sampai ke sini.

Jarak antara Tawau dan Maliau Basin adalah 190 km. Anda boleh menggunakan jalan telah berturap yang disediakan dengan menggunakan kereta untuk ke Pagar Keselamatan Maliau Basin. Dari sini, anda perlu menggunakan 4 Wheel Drive untuk menempuh perjalanan yang lebih mencabar sehingga ke Study Centre yang berada dalam jarak 27 km.

Apa istimewanya Maliau Basin sehingga khazanah ini diiktiraf dunia? Selain daripada air terjun yang banyak di dalamnya, ia juga memiliki 12 jenis hutan. Salah satunya adalah Mossy Forest. Suasana di Mossy Forest terasa seperti dalam set penggambaran Alice In Wonderland. Tu baru satu jenis hutan dah rasa macam alam fantasi. Nak tahu betapa indahnya Maliau Basin, cubalah luangkan 1 hari untuk anda teroka khazanah alam yang bertaraf dunia ini.

Lokasi: Maliau Basin Conservation Area, Sabah

13) Columnar Basalt

Columnar Basalt

Imej via amiraarbain

Apa lagi yang rare di Tawau? Ok! Ini Columnar Basalt ini memang tiada di tempat lain dalam Malaysia, hanya ada di Tawau sahaja. Jadi memang harus sangat anda pergi melihat sendiri keunikan Columnar Basalt ini.  Untuk makluman anda, Columnar Basalt adalah formasi batuan yang terhasil dari pembekuan aliran lava. Lebih menarik formasi batuan ini tersusun cantik dan ianya berlaku secara semula jadi. Fenomena ini terjadi kerana penyejukan aluran magma setelah letusan gunung berapi yang terjadi pada sekitar 26 ribu tahun yang lampau.

Lebih menarik, anda juga boleh memancing dan berenang di sungai ini. Sambil-sambil itu, jangan lupa bergambar sepuas hati di sini. Bukan senang nak bergambar berlatar belakangan fenomena alam semula jadi yang hanya terdapat di Tawau sahaja.

Alamat: Columnar Basalt Balung Cocos (Sungai Giram), 91000 Tawau, Sabah

14) Taman Rekreasi Air Panas Tawau

Taman Rekreasi Air Panas Tawau

Imej via pictame

Di Tawau bukan setakat ada air terjun sahaja, tetapi juga ada kolam air panas. Nak belai diri ala-ala di sauna, bolehlah datang ke Taman Rekreasi Air Panas Tawau. Di sini telah tersedia beberapa buah kolam air panas dengan tahap kepanasan yang berbeza dari 30 ke 60 darjah celsius.

Nak lagi best, sebelum anda berendam dalam kolam air panas ini, anda bolehlah mulakan dengan aktiviti nature walk di trek yang tersedia di sini. Sambil bersenam, dapat menghirup udara segar dari kehijauan hutan kecil yang terdapat di sekitar kawasan ini.

Lokasi:  Taman Rekreasi Air Panas Tawau, 91000 Tawau, Sabah

Waktu Operasi: 8.00am–5.00pm

Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5

15) Sankina Hotsping Park

Sankina Hotsping Park

Imej via 8hannels

Selain Taman Rekreasi Air Panas Tawau, anda juga boleh ke Sankina Hotsping Park untuk berendalam dalam kolam air panas.

Yang bestnya, kolam air panas di sini tidak begitu dalam menjadikan ia selamat untuk kanak-kanak.

Selain kolam air panas, terdapat juga kemudahan lain yang disediakan di sini seperti tempat permainan kanak-kanak, restoran, tempat persalinan dan lain-lain lagi.

Lokasi: Sankina Hotsping Park, Jalan Hotspring, 91000 Tawau

Waktu Operasi: Khamis – Selasa (10.00am–10.00pm) | Rabu (Tutup)

Harga Tiket: Dewasa RM35 | Kanak-Kanak RM25

16) Gunung Maria

Walaupun Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik, tetapi jangan tak percaya, di Tawau ada gunung berapi. Gunung berapi ini terletak di wilayah Bombalai. Nama gunung ini adalah Gunung Maria dengan ketinggian 1,067 meter dari paras laut. Ia adalah daripada jenis gunung berapi “Pyroclastic Cone” dan berstatus “PreHolecene” iaitu gunung berapi yang berusia lebih daripada 12,000 tahun (keatas). Tapi jangan risau kerana gunung berapi ini tidak aktif.

Dah alang-alang datang ke Tawau, memang rugi kalua tidak singgah ke tempat yang rare seperti ini. Kalau tak larat nak menadki gunung ini pun tidak mengapa, yang penting anda sudah sampai ke tempat ini dan bolehlah bergambar berlatar belakangkan gunung berapi ini.

Lokasi: Gunung Maria, Bombalai, Tawau

17) Pantai Inderasabah

Pantai Inderasabah

Imej via instarix

Bukan setakat hutan, air terjun, kolam air panas juga gunung berapi, di Tawau juga ada pantainya sendiri. Ia terletak di dalam lokasi yang agak terpencil iaitu di Kampung Inderasabah, Pantai Inderasabah.

Kalau nak ke sini, jangan lupa bawa sekali joran untuk memancing sebab kawasan pantai ni juga agak terkenal dalam kalangan kaki pancing. Mana tahu reseki anda, dapat hasil laut pula ketika memancing. Bolehlah terus berbbq di tepi pantai. Memang syok habis!

Lokasi: Pantai Inderasabah, Kampung Inderasabah, Tawau

Itulah dia 17 tempat menarik di Tawau, Sabah yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Tawau. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Kundasang dan Tempat Menarik Di Labuan.


SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...