Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah Dekat Di Hati Rakyat

by Oh! Semput


HOME Posted on 12 Jan 2019 13:01:08



TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan anakanda keempat Sultan Ahmad Shah dan Almarhumah Tengku Afzan Almarhum Tengku Muhammad diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan; Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tengku Abdullah aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak dan sepak raga jaring sejak kecil yang mana atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, baginda terpilih mewakili sekolah, daerah dan negeri di dalam permainan bola sepak.

Tengku Abdullah melanjutkan pengajian dalam bidang Diplomatik dan Hubungan Antarabangsa di Worcester & Queen Elizabeth College pada 1981.

Seterusnya, baginda meneruskan pengajian di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada 1979 hingga 1980; Davies College, London – Advance School 1978 hingga 1979 dan Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School pada 1975 hingga 1978.

Menerusi bidang ketenteraan, baginda merupakan Brigadier General Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004, Kolonel pada 1 Jun 2000; Leftenan Kolonel (1 Mei 1999); Kapten Corp. Cavalry of Malaysian Army (1980) dan Leftenan Kedua Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England pada 1980 dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II.

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Ketika Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.

Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016.

Pelantikan itu bersesuaian dengan perwatakan Tengku Abdullah yang terdedah dengan dunia pentadbiran dan sering mengikuti ayahanda baginda dalam pelbagai acara termasuk bersama rakyat.

Tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketika menjadi Pemangku Raja inilah baginda menyertai kursus hal ehwal luar negeri di Queen Elizabeth College, University Oxford, England dan kursus Tatacara Pentadbiran Tanah di Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur selama dua minggu (Disember 1982).

Sebagai Tengku Mahkota Pahang, baginda amat mengambil berat akan hal ehwal rakyat di Pahang.

Dalam beberapa siri keberangkatan Tengku Abdullah ke daerah-daerah, baginda menggunakan helikopter untuk cepat sampai ke tempat lawatan dan seterusnya dapat meninjau dengan lebih dekat masalah dihadapi rakyat. 

Hasrat utama baginda ialah untuk memastikan segala aspek pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat ke tahap yang maksimum.

Memikul tanggungjawab selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip),  baginda tidak ketinggalan dalam menasihati rakyat supaya sentiasa mengimarahkan masjid dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan untuk faedah dunia dan akhirat. 

Baginda sentiasa menggalakkan supaya masjid yang telah dibina digunakan dengan sepenuhnya oleh rakyat jelata.

Satu perkara lagi yang juga sangat baginda tekankan ialah supaya rakyat di negeri ini sentiasa hidup di dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

Di bawah kepemimpinan baginda dan naungan ayahandanya, Muip berjaya bersama-sama dengan kerajaan negeri menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kebajikan umat Islam, serta mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Tengku Abdullah dan ayahandanya jelas sangat memberi perhatian terhadap kebajikan pentadbiran umat Islam di negeri ini.

Semua sedia maklum baginda amat meminati bidang sukan. Ketika di England, baginda mengetuai Pasukan Polo Diraja Pahang menerusi perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club dan berjaya memenangi perlawanan tersebut.

Seterusnya, baginda mengambil bahagian di dalam pertandingan di Singapura, Manila dan Brunei.

Di Pekan, baginda menubuhkan pasukan bola sepaknya sendiri yang dinamakan Pasukan Sri Mahkota Alam. Bidang sukan lain seperti go-kart dan penerbangan Ultralight. 

Baginda terpilih menjadi Yang Dipertua bagi beberapa pertubuhan seperti Pasukan Equestarian Malaysia, Kelab Tenis Diraja Pahang, Kelab Golf Diraja Pahang, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mempengerusikan Liga Semi-Pro anjuran FAM.

Baginda melangsungkan perkahwinan dengan  Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 dan mempunyai empat putera serta lima puteri. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL


Norlida Ishak Shop
Leave a Comment:

Related News