by Oh! Semput
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Pahang menambahkan hasil negeri seperti mengeksport pasir sungai.
Baginda bertitah, ini memandangkan Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung dan sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.
Titah baginda, sebelum ini, Pahang dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang sedangkan hasil tanah dan pasir adalah hak negeri.
"Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri ini dan lebih mengutamakan Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenjung," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian pada titah Diraja sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, baginda mahu Kerajaan Pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek.
"Sekali lagi, saya tegaskan bahawa kerajaan pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada Pahang.
"Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan," titah baginda. #BeritaHarian