Tengku Maimun ingatkan peguam agar tidak ulas kes Nik Elin

by Oh! Semput


14
SHARES
187
VIEWS
Posted on 20 Nov 2023 11:30:39

KETUA Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengingatkan peguam yang terlibat dalam prosiding mencabar perlembagaan oleh dua wanita beragama Islam terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada permulaan prosiding hari ini, Tengku Maimun, yang mengetuai panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan, berkata peguam terikat dengan etika profesion mereka dan adalah tidak wajar bagi mereka membincangkan kes yang belum selesai pada forum awam.

Beliau berkata mahkamah membuat pemerhatian kerana begitu banyak yang diperkatakan oleh ramai orang mengenai petisyen itu dan kebanyakan daripada apa yang diperkatakan adalah versi yang diputarbelitkan bagi isu sebenar di hadapan mahkamah.

“Seperti yang kita nyatakan dari awal perbicaraan pada 17 Ogos, isunya bukan mengenai menjatuhkan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Isu yang timbul daripada petisyen itu hanyalah mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan,” katanya.

Beliau berkata kenyataan, “Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia” adalah tidak benar.

Hakim Tengku Maimum berkata demikian bagi menjawab kenyataan peguam Mohd Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu bahawa adalah penting bagi seseorang untuk memahami cabaran kuasa Mahkamah Syariah sebelum ia terkubur seperti “batu nisan”.

“Tertakluk kepada apa sahaja jawapan yang ingin dibuat oleh Yusfarizal mengenai perkara ini, kami ingin mengingatkan peguam bahawa kamu terikat kepada etika profesion kamu dan tidak wajar untuk membincangkan kes yang belum selesai di forum awam, lebih-lebih lagi apabila gagal mendedahkan fakta penuh kes itu.

“Kami ingin mengingatkan semua di mahkamah ini khususnya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, dan tidak menghasut sentimen orang ramai. Kami menggesa peguam untuk menghujahkan kes berdasarkan isu di hadapan kami,” kata beliau.

Terdahulu, ketua hakim negara berkata mahkamah mengambil maklum permohonan pempetisyen berhubung beberapa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Yusfarizal.

Tengku Maimun kemudian menyoal Yusfarizal sama ada membuat kenyataan seperti yang dipetik dalam afidavit pempetisyen, yang peguam itu menjawab bahawa beliau perlu menyemak transkrip dan tidak pasti perkataan yang tepat yang digunakan. 

Panel hakim yang dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais, menetapkan hari ini untuk menyambung semula pendengaran petisyen kedua-dua wanita itu.

Pada 17 Ogos, mahkamah mendengar hujah peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman serta peguam Kamaruzaman Muhamad Arif, yang mewakili kerajaan Kelantan.

Peguam kelahiran Kelantan itu dan anak perempuannya memfailkan petisyen untuk mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen tersebut.

Mereka mendakwa badan perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan yang sama.

Mereka memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal. Pada 30 September 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kedua-dua wanita itu untuk memulakan cabaran mereka. 

Dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPK), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dibenarkan mencelah dalam kes itu sebagai amicus curiae (rakan mahkamah), Sisters in Islam, Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia dan Badan Peguam Malaysia, mengemukakan penghujahan mereka.

Tun Tengku Maimun berkata mahkamah menangguhkan keputusannya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Lebih 1,000 orang kebanyakannya penyokong PAS berhimpun di luar Istana Kehakiman seawal 8 pagi hari ini bagi mengetahui keputusan kes itu. – Bernama, 20 November, 2023.

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts