by Oh! Semput
Tiga beranak maut manakala seorang lagi anak lelaki cedera parah selepas Proton Exora yang dinaiki empat sekeluarga terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, menghala ke Tanjong Karang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, Proton Exora berkenaan dipercayai merempuh bahagian belakang lori sebelum menyebabkan keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 1.37 tengah hari sebelum menggerakkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Ketika pasukan bomba tiba kira-kira jam 1.57 petang, seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba. Mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah dan memerlukan rawatan lanjut.
Tiga lagi mangsa yang masih tersepit terdiri daripada seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja perempuan. Kesemua mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans di lokasi kejadian.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera parah dibawa mendapatkan rawatan.
Operasi menyelamat melibatkan empat anggota bomba yang menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari Proton Exora yang rosak teruk akibat pelanggaran.
Punca sebenar kemalangan serta keadaan yang menyebabkan MPV berkenaan merempuh bahagian belakang lori masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Tiga Termasuk Dua Kanak-Kanak Maut Kereta Langgar Belakang Lori first appeared on #1 The News Malaysia.