by Oh! Semput
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain mendakwa parti itu kini berada dalam keadaan lebih stabil berbanding beberapa parti politik lain yang sedang berdepan konflik dalaman serta perebutan kepimpinan.
Beliau berkata, UMNO semakin kukuh di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain menegaskan parti berkenaan tidak berdepan sebarang perpecahan dalaman ketika ini.
“Jangan mereka (DAP) anggap Barisan Nasional ini parti baharu, parti anak-anak, parti budak-budak. Walaupun kita sedikit kerusi, tapi kena ingat kita mempunyai ahli yang paling ramai sekali di antara parti-parti politik di negara ini.
“Kita adalah paling tua (parti politik) sekali, berpengalaman dan cawangan-cawangan kita tak mati, masih lagi bergerak.
“Dia kena ingat sekarang ini kedudukan UMNO begitu kukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiada perpecahan yang berlaku,” katanya, petik portal MalaysiaGazette.

Beliau berkata UMNO turut membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti tanpa syarat yang membebankan, sebagai usaha memperkukuh gerakan politik parti.
“Bahkan kita menjadi rumah bangsa. Maknanya orang yang diambil tindakan pun dibuka untuk masuk semula tanpa apa-apa syarat. Isi borang sajalah. Kena ada permohonanlah sikit. Dia bukan secara automatik macam itu.
“Kita membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali berjuang bersama parti,” katanya lagi.

Artikel lain: Rumah perjuangan bangsa! UMNO kekal diyakini, kini pilihan anak muda- Zahid Hamidi
Dalam pada itu, beliau mendakwa beberapa parti lain termasuk PKR, Amanah serta Perikatan Nasional turut berdepan isu dalaman yang menjejaskan kekuatan organisasi masing-masing.
“Sekarang ini parti yang tak berpecah, tak berbalah, bahkan yang menjadi tempat berlindung, tempat kembalinya semangat perjuangan adalah UMNO.
“Dalam PKR itu tengah huru-hara. Begitu juga dalam DAP huru-hara. Bagaimana kita tahu Lim Guan Eng dan kuncu-kuncunya sekarang ini bertelagah dengan Anthony Loke.
“Bukan kita tak tahu, secara terbuka. Dalam PN juga bergaduh sesama sendiri. Bahkan dalam Amanah pun bergaduh juga. Jadi bagaimana mereka nak marah kepada UMNO?
“Mereka marah kepada UMNO ini sebab hanyalah UMNO sahajalah tempat yang mereka boleh bergantung harap sekarang ini,”ujar beliau.