Tidak perlu import makanan menjelang 2050 – TPM

by Oh! Semput


HOME Posted on 11 Dec 2016 14:01:01



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa melihat cara pembuatan kertas buatan tangan dengan menggunakan Jerami Padi ketika hadir pada majlis perasmian penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Turut bersama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan). – Foto NSTP/Ghazali Kori

SERDANG: Malaysia dijangka mampu memenuhi permintaan tempatan dan tidak perlu mengimport makanan menjelang tahun 2050, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia diyakini berupaya memenuhi permintaan pasaran eksport dalam tempoh 34 tahun akan datang, iaitu ketika Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi kenyataan.

“Pada waktu itu, negara dijangka mempunyai kira-kira 50 juta penduduk dan diharap tidak perlu lagi mengimport makanan, malah bahan makanan di seluruh negara boleh memenuhi keperluan tempatan.

“Ia juga boleh dieksport dengan kualiti dan teknologi dihasilkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensinya,” katanya berucap pada Majlis Penutup Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zahid berkata, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang dijadikan tapak MAHA setiap dua tahun, perlu dijadikan lokasi asas untuk mempromosikan sektor agropelancongan di negara ini.

“Saya harap kementerian akan menjadikan tapak MAHA ini sebagai lokasi asas agro-pelancongan bagi mempromosikan produk serta menggamit kedatangan pelancong luar.

“Saya tawarkan diri sebagai pengerusi penyelaras mempromosikan MAEPS bagi menjadikannya tapak yang terus hidup, bukan hanya dua tahun sekali,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan 3.5 juta orang mengunjungi MAHA 2016 setakat pagi tadi dan yakin angka itu meningkat kepada 3.8 juta apabila pameran itu berakhir petang ini.

Category: Semasa

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...