by Oh! Semput
Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyanggah kenyataaan yang dibuat seorang seorang pemimpin DAP berhubung peranannya di Washington DC.
Nazri mendakwa, kritikan yang dilemparkan kepadanya serta kenyataan bekas pemimpin DAP itu yang menyenaraikan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang Duta Besar Malaysia ke AS, menunjukkan hasrat individu berkenaan untuk mengisi jawatan tersebut.
*“Apabila saya meneliti apa yang dikatakannya, boleh saya rumuskan bahawa sebenarnya bekas pemimpin DAP ini mahu memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mengambil dia sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
“Nama-nama seperti Nurul Izzah Anwar, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Tan Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Yusmadi Yusoff hanyalah untuk mengaburi keinginannya sendiri bagi mendapatkan jawatan itu,”* katanya dalam satu kenyataan.
Nazri menegaskan bahawa tidak perlu bermain politik untuk mendapatkan jawatan tersebut dan lebih baik jika individu itu terus terang menyatakan hasratnya, berbanding mencari kelemahan serta kesalahannya sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai duta.
Beliau turut menyatakan bahawa meskipun dirinya bukan yang terbaik dan mempunyai kekurangan, namun tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang merendahkan atau menyenaraikan kelemahan duta sebelum ini.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik walaupun ada pihak mendakwa sebaliknya.
Menurutnya, antara tugas penting yang dilaksanakan termasuk berdepan dengan Jabatan Negara AS sebanyak lima kali susulan kenyataan tegas Perdana Menteri mengenai isu Palestin dan Gaza.
“Saya dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali kerana ketegasan Anwar dalam isu Palestin dan Gaza, mempertahankan Hamas serta bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar.
“Saya juga mempertahankan hak Iran yang bertindak balas apabila konsulatnya di Syria diserang Israel, menyokong lawatan ke Rusia dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap Chinaphobia. Adakah mempertahankan kenyataan tegas Malaysia ini tidak penting,” katanya.
Nazri turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta jawatan Duta Besar Malaysia ke AS, sebaliknya namanya dicalonkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut membidas bekas diplomat Malaysia, Dennis Ignatius, yang sebelum ini menggesa kerajaan memanggilnya pulang selepas tular gambarnya memegang plakad pro-Donald Trump baru-baru ini.
“Saya tidak rasa perlu memberi respons kepada seseorang yang telah hilang rasa humor. Lagipun, saya difahamkan dia sering mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Malaysia. Tidak perlu layan seorang pengkhianat,” katanya lagi.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mendakwa Nazri tidak memainkan peranannya dengan baik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
Menurut Ong, antara kegagalan Nazri termasuk tidak mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri dan Presiden AS, Donald Trump, yang dianggap sebagai satu isyarat penting dalam komuniti diplomatik.
Nazri dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 2022, namun tempoh perkhidmatannya telah berakhir baru-baru ini.
Tidak Perlu Main Politik Jika Mahu Jadi Duta AS – Nazri #1 The News Malaysia.