by Oh! Semput
PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menuntut Meta Platforms Inc (Meta) membuat permohonan maaf maaf secara terbuka atas tindakan mereka menurunkan ucapan takziah Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh daripada platform media sosial.
PMO dalam satu kenyataan berkata ia memanggil Meta hari ini untuk memberi penjelasan berkaitan ucapan Anwar yang diturunkan daripada akaun Facebook dan Instagram.
Pertemuan itu juga bertujuan meminta penjelasan berhubung gangguan dilaporkan berlaku dalam siaran langsung di Facebook sewaktu Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil yang dihadiri lebih 15,000 orang semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohamad Salim Fateh Din.
“PMO menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran perdana menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail yang dibunuh baru-baru ini.
“PMO melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan, selain penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan hak asasi manusia.
“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PMO menuntut Meta memberikan penjelasan terperinci atas tindakan mereka itu, disertai dengan permohonan maaf secara terbuka daripada syarikat itu.
Hantaran yang diturunkan oleh Meta termasuk ucapan takziah Anwar berhubung kematian Haniyeh yang dibunuh di Tehran, Iran pada 31 Julai.
PMO berkata Meta akan mengeluarkan kenyataan media berhubung isu itu. – 5 Ogos, 2024.