Ulasan Huawei FreeBuds Pro – Boleh Tahan Wei!

by Oh! Semput


2
SHARES
22
VIEWS
Posted on 09 Oct 2020 09:07:39

Pasaran kini dipenuhi dengan lambakan fon telinga TWS pada pelbagai tanda harga. Ada yang boleh dimiliki pada harga serendah RM50 dan ada juga yang mencecah ribuan ringgit. Jurang perbezaan harga ini menyukarkan pengguna untuk melakukan pemilihan yang tepat. Benarkah harga yang mahal menjanjikan pengalaman audio yang premium ataupun sekadar gimik jualan dengan sekadar menjual jenama.

Dalam situasi ini ramai memilih jalan tengah dan memilih TWS yang dijual pada harga pertengahan. Huawei FreeBuds Pro ialah yang terkini memasuki pasaran Malaysia. Walaupun terdapat Pro pada nama, ia dijual pada harga yang lebih mesra ekonomi global sekarang. Ini ialah ulasan kami untuk fon telinga TWS terkini dari Huawei.

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei FreeBuds Pro
JenisDalam Telinga/TWS
Mikrofon6 (4 luar, 2 dalam)
Bateri55 mAh pada fon telinga
580 mAh pada pod pengecas
PengecasanUSB-C/Qi
Cip AudioKirin A1
CODECSBC, AAC
Sokongan AplikasiAndroid
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 699

Tidak dapat dinafikan FreeBuds Pro mengambil inspirasi rekaan dari fon telinga TWS paling popular di pasaran sekarang iaitu AirPods Pro. Kami yakin ketika ia diumumkan tempoh hari, ramai yang menyedari perkara yang sama.

Rekaan pod membujur adalah sama cuma sedikit lebih besar berbanding AirPods Pro. Kedua-dua putik audio juga mempunyai tangkai pendek yang dilengkapi pelbagai sensor tekanan dan sentuhan. Pada bahagian speaker putik audio, terdapat pengesan sentuhan untuk menjeda muzik. Putik dalam telinganya pula diperbuat daripada silikon dengan tiga saiz disertakan dengan setiap pembelian.

Dua lampu LED diletakkan pada pod pengecas – satu pada bahagian dalam dan satu lagi pada bahagian bawah. Ia berwarna hijau apabila pada tahap 100% pengecasan dan merah apabila kehabisan bateri.

Hanya sambungan tangkai kepada putik audio yang berbeza kerana berbentuk empat segi. Ada sedikit kekecewaan kami mengenai rekaan FeeeBuds Pro kerana terlalu hampir dengan AirPods Pro. Sebagai sebuah syarikat yang ternama, kami merasakan Huawei perlu mencari identiti mereka sendiri.

Samsung berjaya melakukannya dengan siri Buds yang langsung tiada persamaan dengan AirPods. Kami yakin Huawei boleh melakukannya kerana telefon pintar mereka juga dituduh meniru rekaan tetapi kini mempunyai rekaan tersendiri.

Rekaan yang amat mirip AirPods diambil mungkin kerana ia rekaan yang paling selamat dan mudah digunakan majoriti pengguna. Seperti pepatah Inggeris, “jika tidak rosak mengapa perlu diubah”. Memang diakui proses menggunakan FreeBuds Pro adalah jauh lebih mudah tidak seperti Galaxy Buds Live dengan bentuk kekacang yang terlalu aneh ketika digunakan buat pertama kali.

FreeBuds Pro ialah jawapan Huawei kepada AirPods Pro, Galaxy Buds Live dan Sony WF-1000XM3. Oleh itu ia dilengkapi dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) secara terbina. Dengan rekaan dalam telinga, proses menapis hingar dari luar secara teorinya adalah lebih efektif.

Bagi menjayakan sistem ANC ini, Huawei menyertakan dua mikrofon pada bahagian tangkai dan satu mikrofon pada bahagian dalam pada setiap putik audio. Audio dari luar akan dianalisa sepanjang masa untuk mengurangkan gangguan ketika FreeBuds Pro digunakan.

Keseluruhan tubuh putik audio pada unit berwarna Silver Frost yang kami ulas mempunyai kemasan berkilat seakan logam. Ia memang kelihatan cantik dan premium. Di dalam tangan juga kemasan yang sama tidak terasa murah walaupun sebenarnya diperbuat daripada plastik.

Tetapi cantik tidak bermakna ianya praktikal. Isu pertama yang kami hadapi ialah putik audio sukar untuk dikeluarkan dari pod simpanan. Ia perlu dikorek dengan gigih kerana sambungan magnet yang mengekalkannya dalam pod pengecas adalah kuat.

Kemudian kemasan yang licin menyukarkan jari kami untuk menariknya keluar. Kami hanya menggunakan FreeBuds Pro selama dua minggu tetapi sudah mula risau dengan kualiti kemasan jangka panjang. Dari pengalaman peribadi, kemasan yang berkilat ini mudah kotor dan tercalar sekiranya pengguna tidak berhati-hati.

Pod pengecasnya pula mempunyai kemasan kasar dan pusam. Amat selesa di dalam tangan dan tidak licin. Sepatutnya kemasan yang sama digunakan juga pada putik audio. Kami menyedari sudah ada beberapa calar pada putik telinga tetapi tiada pada pod pengecas walaupun ia disimpan di dalam kocek jeans sepanjang tempoh ulasan.

Penggunaan Dan Perisian

Proses tambatan adalah semudah membuka penutup pod simpanan. Jika anda menggunakan peranti Huawei, FreeBuds Pro akan dikesan sekelip mata dan ditambat dengan menekan butang OK yang terpapar pada skrin Proses yang sama pada peranti selain Huawei pula adalah dengan menekan butang fizikal pada sisi pod pengecas.

Lampu pada bahagian dalam pod akan berkelip-kelip menandakan ia memasuki mod tambatan. Cari FreeBuds Pro pada senarai peranti bluetooth pada peranti untuk melengkapkan proses.

Proses yang sama juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Huawei AI Life yang boleh dimuat turun menerusi App Gallery dan Play Store. Malang sekali ketika melakukan ulasan, versi terkini Huawei AI Life di Play Store tidak mampu mengesan FreeBuds Pro. Kami terpaksa memuat turun APK dari P40 Pro yang kami miliki ke Galaxy S20 Ultra untuk menggunakan aplikasi versi terkini. Proses yang sedikit menyukarkan ini hanya dapat diselesaikan jika Huawei mengemaskini aplikasi yang kali terakhir diberikan pada awal Ogos.

Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak kami sarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar sistem kawalan gestur, kawalan tekanan, menyahaktifkan pad sesentuh, mod audio, tahap pengecasan bateri, mengaktifkan ANC dan mengakses ciri seperti Tip Fit Test.

Tip Fit Test ialah ciri yang kami rasakan perlu untuk melihat tahap kekedapan putik silikon apabila dimasukkan ke dalam telinga. Kekedapan yang baik membolehkan sistem ANC berfungsi pada tetapan terbaik. Tetapan lain juga boleh diubah. Secara lalai memicit tangkai FreeBuds Pro akan mengaktifkan atau mematikan ANC, menerusi aplikasi ia boleh diubah untuk menyeru pembantu maya.

Selepas diubah, tetapan ini tersimpan pada fon telinga. Selepas itu apabila FreeBuds Pro ditambat ke peranti EMUI, Android, iOS dan Windows 10. Kesemua kawalan gestur, cubitan dan menjeda muzik apabila ditanggalkan disokong pada pelbagai sistem operasi. Ini ialah perkembangan yang baik kerana pada FreeBuds 3 yang kami ulas awal tahun ini, beberapa ciri yang kami senaraikan tadi hanya disokong pada peranti EMUI. Syabas Huawei kerana mendengar maklum balas pengguna.

Dengan kata lain ini ialah TWS yang terbaik dari segi perisian pernah dihasilkan oleh Huawei yang pernah kami ulas setakat ini. Kami berharap aplikasi untuk iOS dan kemas kini untuk Android dapat diberikan dalam masa terdekat.

Kekurangan yang ada pada perisian hanyalah terletak pada tiadanya sokongan menjejak putik telinga (Find My Earphone) yang hilang. Ini ialah ciri standard yang disokong pada TWS keluaran syarikat lain. Dengan saiznya yang kecil dan permukaan yang licin, ia mudah hilang atau terjatuh. Proses mencarinya semula dipermudahkan Jika sistem penjejak yang mengeluarkan bunyi berfrekuensi tinggi (seperti sistem Samsung) disertakan.

Kualiti Audio

FreeBuds Pro menawarkan pengalaman audio yang berbeza bergantung pada peranti mana ia ditambat. Ya aneh sekali pengalaman audio yang berbeza berlaku apabila ditambat pada peranti Huawei, Apple dan Android.

Pada peranti Huawei dan Apple, kualiti audionya adalah setanding dengan fon telinga yang dijual pada tanda harga yang sama. Bass padu dengan dentuman yang mengasyikkan. Treble juga nyaring dan suara penyanyi dapat didengari dengan jelas. Komen kami hanyalah profil audio yang mungkin lebih berat kepada bass. Ia lebih sesuai digunakan untuk EDM, pop dan RAP. Muzik akustik, klasikal dan rock terasa sedikit tenggelam. Pada tetapan audio tertinggi audio mula menjadi sedikit berkecamuk (muddy) dan kurang jelas.

Seperkara lagi ialah tetapan audio pada peranti Huawei juga tidak memuaskan. Kelantangan audio maksimum pada P40 Pro+ yang kami gunakan hanya sekitar 80% yang kami dapat nikmati pada iPhone 11 Pro Max. Mungkin Huawei meletakkan had audio pada perisian untuk mengelakkan pendengaran pengguna mengalami kerosakan jangka panjang.

Pada peranti lain (kami gunakan S20 Ultra), profil audio berubah. Bass menjadi terlalu kuat sehingga menyebabkan instrumen lain pada lagu tenggelam. Treble kurang menyerlah tetapi suara nyanyian adalah jelas. Kami perlu menggodek equliser pada peranti untuk mendapatkan pengalaman audio yang baik. Ini bukanlah masalah yang besar bagi kami tetapi mungkin akan menjengkelkan mereka yang mahukan aksesori audio yang berfungsi dengan baik tanpa perlu diubah tetapan terlebih dahulu.

Seterusnya ialah sistem ANC. Ia tidak sebaik pada WF-1000XM3 atau AirPods Pro tetapi lebih baik berbanding Galaxy Buds Live. Ia hanya mampu membatalkan hingar seperti deruman sistem penyaman udara. Ikhlas kami katakan pembatalan hingar pasif kerana rekaan dalam telinganya sudah memadai dalam pelbagai situasi.

FreeBuds Pro juga hadir dengan sistem Awareness – versi Transparency Mode dan Ambient Sound. Ia boleh meningkatkan kekuatan perbualan dan persekitaran tetapi dalam hal ini kami rasakan ia lebih baik pada Galaxy Buds+. Pada Buds+ kami terasa seperti manusia bionik dengan kemampuan pendengaran seorang adiwira. Pada Freebuds Pro ia sekadar terasa seperti menanggalkan putik audio dari telinga.

Sebagai konklusi pengalaman audionya adalah baik untuk harga jualannya yang ditawarkan jika digunakan pada peranti Huawei dan Apple. Pada peranti lain bass tidak seimbang sehingga menenggelamkan audio yang lain. Secara peribadi kami meletakkan Galaxy Buds Live di tangga paling hadapan diikuti oleh AirPods Pro dan Freebuds Pro di tangga ketiga.

Bateri

Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama 7 jam dan sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC tidak diaktifkan. Hayat penggunaan FreeBuds Pro adalah lebih baik berbanding AirPods Pro tetapi tidak sebaik Galaxy Buds Live.

Sekiranya kehabisan bateri, tempoh pengecasan adalah amat pantas. Pod pengecasnya boleh dicas dalam tempoh paling pantas pernah kami temui pada TWS iaitu sekitar 1 jam sahaja. Ia meningkat ke dua jam jika pengecasan nirwayar digunakan.

Kesimpulan

FreeBuds Pro ialah fon telinga dengan ANC yang baik bagi mereka yang tidak ingin berbelanja lebih. Ianya selesa dipakai pada telinga dan hadir dengan pelbagai sokongan kawalan terbina. Kemasannya amat baik pada harga jualan yang ditawarkan. Kemampuan audio juga amat memuaskan tetapi bergantung kepada peranti ia ditambat.

Dengan harga RM699 sebuah, ia adalah TWS yang lebih mampu milik jika dibandingkan dengan AirPods Pro dan Sony WF-1000XM3 yang berada di dalam kelas yang sama. Pesaingnya yang paling hampir ialah Galaxy Buds Live yang turut ditawarkan pada harga yang sama.

Bagi pemilik peranti Huawei ini ialah fon telinga yang terbaik untuk peranti anda dan yang terbaik yang pernah mereka hasilkan. Pengguna iOS juga boleh menikmati pengalaman audio yang baik tetapi tanpa sokongan aplikasi tetapan FreeBuds Pro tidak boleh diubah langsung.

Bagi pengguna Android lain, selagi perisian AI Life tidak dikemaskini, kesemua ciri menarik FreeBuds Pro tidak dapat anda gunakan sehingga kami sukar untuk menyarankannya pada waktu ini.

Pro

  • Kualiti bunyi yang amat memuaskan.
  • Amat selesa dipakai untuk penggunaan sepanjang hari.
  • Kemasan putik audio dan pengecas adalah premium.
  • Aplikasi sokongan yang amat baik.
  • Sokongan gestur, sentuhan dan tekanan pada pelbagai sistem operasi.
  • Pengecasan terpantas pada TWS setakat ini.

Kontra

  • Pembatalan hingar yang tidak sebaik TWS lain dengan sistem yang sama.
  • Terlalu licin kerana kemasan yang berkilat dan mudah tercalar.
  • Profil audio berbeza pada peranti Android. Tidak sebaik pada peranti Huawei dan Apple.
  • Aplikasi sokongan yang tidak wujud pada iOS dan tidak dikemaskini pada Android.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts