Ulasan Samsung Galaxy S26 FE – Sama Tapi Tak Serupa

by Oh! Semput


2
SHARES
25
VIEWS
Posted on 11 Sep 2026 07:01:15

Penjimatan dan mampu milik adalah dua terma yang diancam kepupusan disebabkan oleh krisis RAM. Secara purata harga telefon pintar di Malaysia meningkat sekitar RM600 berbanding model tahun lalu dengan konfigurasi storan yang sama.

Siri Galaxy FE bermula sebagai cara melancarkan semula Note7 yang bermasalah tetapi kini lebih dikenali sebagai alternatif lebih mampu milik berbanding siri Galaxy S yang lain pada waktu yang sama menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding siri Galaxy. Dengan Samsung Galaxy S26 FE, tahun ini mereka benar-benar menawarkan peranti yang mampu milik untuk spesifikasi yang ditawarkan.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S25 FE
Skrin6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz,
FHD+, HDR10+
PemprosesExynos 2500 (3nm)
Cip1x 3.3GHz Cortex-X925
2x 2.74GHz Cortex-A725
5x 2.36GHz Cortex-A720
2x 1.8GHz Cortex-A520
Cip GrafikXclipse 950
RAM8GB LPDDR5X
Muatan Dalaman128/256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
8MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto12MP f/2.2
Bateri4900 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W Qi2
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni1 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 2899 (8/128GB)
RM 3299 (8/256 GB)
RM 4099 (8/512 GB)

SKRIN dan REKAAN

Dengan skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, ia berkongsi saiz skrin yang sama dengan S26+. Saiznya sama tetapi tanpa teknologi LTPO dengan kadar segar semula 60Hz atau 120Hz sahaja. Tahap keterangan juga lebih rendah sekadar 1600 nits berbanding 2600 nits pada S26+. Satu lagi yang membezakan dua model ini ialah bezel dagu pada S26 FE lebih tebal dan tidak sekata. Skrin S25+ digunakan semula tanpa sebarang penaiktarafan dilakukan.

Skrin menyokong sistem FHD HDR10+ dalam aplikasi Netflix, Prime Video, HBO Max, Disney+ dan YouTube. Pengimbas cap jari pula diletakkan bawah skrin dengan ia daripada jenis optikal. Sistem biometri berfungsi dengan pantas dengan terdapat juga imbasan wajah sekiranya diperlukan.

Estetik tubuh berkotak tiga peranti Galaxy S26 awal tahun juga turut dipinjam. Sisi yang rata menjadi peranti sedap dipegang di dalam tangan. Bingkai diperbuat daripada bahan Enhanced Armor Aluminium dengan keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air dan debu IP68.

S26 FE kiri dan S26+ kanan

Terdapat butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan sementara di bawah diletakkan salah satu speaker stereo, port pengecasan USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong satu SIM bersaiz nano dengan sambungan selular kedua perlu menggunakan eSIM. Tiada sokongan kad microSD. Panel belakang diperbuat daripada bahan seakan polikarbonat membolehkan sokongan pengecasan nirwar Qi2 15W dilakukan,.

Kemasan tubuh Galaxy S26 FE adalah kemas dan praktikal. Tiada isu ia mengutip kotoran dengan pantas kerana ia tidak mempunyai kemasan yang berkilat. Tiga bonggol lensa kamera di belakang mempunyai kemasan cincin membuatkan ia nampak bergaya. Kewujudannya juga membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Ketiga-tiga kamera tahun ini sama sahaja dengan tahun lalu iaitu sudut lebar 50MP, ultra lebar 12MP dan telefoto optikal 3X 8MP. Kamera swafoto hadapan juga kekal 12MP. Sudah menjadi tema Samsung tahun ini perkakasan kamera tidak diubah. Yang berubah adalah tiga lensa di belakang diletakkan dalam sebuah bonggol plastik. Ia kini rata dan tidak lagi terkeluar sehingga mengumpul kotoran seperti pada S25 FE. Saya lebih gemarkan rekaan ini kerana selari dengan rekaan pada siri Galaxy S26 lain.

Bateri tahun ini sebesar 4900 mAh sekali lagi sama seperti model tahu lepas dengan pengecasan 45W yang berwayar. Terdapat juga pengecasan Qi2 15W dan PowerShare secara berbalik.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17 digunakan. Ini menjadikan Galaxy S26 FE peranti pertama siri S26 dilancarkan dengan One UI 9. Ia mengikuti langkah Z Fold8, Z Fold8 Ultra dan Z Flip8 yang juga menggunakan One UI 9. Maka ia menyokong pelbagai ciri baharu yang ditawarkan menerusi One UI 9.

Peranti beroperasi dengan lancar walaupun sekadar dilengkapi Exynos 2500 yang merupakan cip yang digunakan Z Flip7 tahun lalu. Ia dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 512GB UFS 4.0. Ya saiz RAM yang kecil bagi sebuah peranti mercu tetapi inilah realiti 2026 dimana krisis RAM menyebabkan saiz memori peranti akan mengecut.

Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.

My Fancam

Semua ciri-ciri Galaxy AI seperti Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief dan Circle to Search turut disertakan sekali. Yang baharu ialah Google Gemini dan Gemini Voice boleh diseru menggunakan butang kuasa.

Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian kerana Galaxy S26 FE akan menerima sokongan 7 kemas kini versi sistem operasi Android serta tampalan sekuriti selama 7 tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google Pixel.

PENANDA ARAS

Galaxy S26 FE menggunakan cip Exynos 2500 yang digunakan pada Z Flip7 tahun lalu. Maka cip ini ialah yang digunakan Samsung pada cip mercu mampu milik mereka. Maka Galaxy S26 FE serasi dibandingkan dengan peranti-peranti di bawah.

  • Samsung Galaxy Z Flip8 – Exynos 2600
  • Google Pixel 11 Pro Fold – Tensor G6
  • Samsung Galaxy Z Fold7 – Snapdragon 8 Elite for Galaxy
  • Oppo Find X9 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5
  • Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
  • Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
  • Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro

Antutu 3D

PerantiSkor
Samsung Galaxy S26 FE2,331,764
Samsung Galaxy Z Flip82,463,934
Google Pixel 11 Pro Fold1,212,510
Samsung Galaxy Z Fold71,747,012
Oppo Find X9 Ultra4,120,640
Samsung Galaxy S26 Ultra3,136,285
Vivo X300 Pro3,507,869
Apple iPhone 17 Pro2,634,345

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
Samsung Galaxy S26 FE22046558
Samsung Galaxy Z Flip819235091
Google Pixel 11 Pro Fold17644688
Samsung Galaxy Z Fold727459060
Oppo Find X9 Ultra350510277
Samsung Galaxy S26 Ultra365110819
Vivo X300 Pro350710469
Apple iPhone 17 Pro35608835

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Samsung Galaxy S26 FE4078
Samsung Galaxy Z Flip84099
Google Pixel 11 Pro Fold3318
Samsung Galaxy Z Fold75633
Oppo Find X9 Ultra7391
Samsung Galaxy S26 Ultra7375
Vivo X300 Pro7075
Apple iPhone 17 Pro5873

Markah yang dicatatkan bukan yang tertinggi tetapi prestasi penggunaan sepanjang tempoh ulasan adalah amat lancar walaupun peranti hanya dilengkapi 8GB RAM LPDDR5x. Memori ini mencukupi untuk pelbagai aplikasi lazim dan juga permua kelas tinggi. Memori boleh ditambah secara maya menerusi RAM Plus sehingga 8GB lagi. Secara lalai ciri ini diaktifkan dengan tambahan 4GB RAM maya.

Pelbagai permua moden boleh dijalankan tanpa sebarang isu dan ini tidak mengejutkan kerana cip Exynos 2500 cukup berkuasa sejak tahun lalu. Walaupun sudah tua setahun, ia masih menawarkan prestasi gaming lebih baik berbanding Tensor G6 pada Pixel 11 Pro Fold yang diulas sebelum ini. Pendek kata FE mungkin peranti paling “lemah” dalam siri S26 tetapi dalam dunia sebenar prestasinya tidak mengecewakan.


KAMERA

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra lebar 12MP dan telefoto optikal 3X 8MP. Kamera swafoto hadapan juga kekal 12MP. Tiada penaiktarafan dilakukan berbanding S25 FE. Maka tidak mengejutkan kualiti gambar S26 FE juga masih sama.

Gambar menggunakan sensor utama 50MP adalah tajam serta terang khususnya dalam situasi pencahayaan yang sempurna. Kamera berfungsi dengan cukup pantas. Dalam keadaan gelap, gambar masih lagi tajam dan terang kerana kamera dilengkapi sistem OIS. Kualiti gambar tidak sebaik S26 Ultra, Oppo Find X9 Ultra, Xiaomi 17 Ultra atau Vivo X300 Ultra. Ini kerana sensor pada peranti ini jauh lebih besar.

Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 2X, 3x, 10x, dan 30x. Kualiti gambar hanya kelihatan elok sehingga tetapan 3X sahaja kerana ia adalah had akhir zum optikal. Melangkaui tahap ini, sistem zum digital digunakan dan hasilnya gambar mula hilang ketajaman serta warna menjadi pudar. Kualiti gambar akan semakin menjunam jika zum jauh dilakukan pada waktu malam. Secara keseluruhan kemampuan zum S26 FE sekadar sederhana.

1x
2x
3X
10X
30X

BATERI

Bateri 4900 mAh menyokong pengecasan 45W secara berwayar dan 15W secara nirwayar. Tiada perubahan dengan S25 FE. Tidak tahu kenapa bateri S26 Ultra tidak digunakan di sini sedangkan pesaing mereka menawarkan bateri dengan kapasiti lebih besar.

Dalam penggunaan lebih berat, SOT sehingga 8-9 jam dapat dicapai secara konsisten dan dalam penggunaan lebih santai peranti boleh bertahan sepanjang hari (sekitar 15 jam). Walaupun prestasi bateri adalah masih baik, bayangkan jika Samsung menggunakan bateri berkapasiti lebih besar pasti ianya akan menjadikan telefon ini lebih kompetitif.

Oppo Reno16 Pro misalnya boleh bertahan hampir 24 jam kerana bateri 6700 mAh. Peranti kelas pertengahan Redmi dan Realme sudah ditawarkan dengan bateri 10,000 mAh. Samsung tidak boleh terus selesa dengan penawaran salin tampal kerana pesaing semakin maju dan agresif merampas pasaran yang dahulunya milik mereka.


PESAING

Samsung Galaxy S26 FEPoco F9 ProGoogle Pixel 11
6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 120Hz
HDR10+, 1600 nit
6.59″ AMOLED, 185Hz
Dolby Vision, 4500 nit
6.3″ OLED Actua Display, 120Hz
HDR10+, 3000 nit
Exynos 2500 (3nm)
1x 3.3GHz Cortex-X925
2x 2.74GHz Cortex-A725
5x 2.36GHz Cortex-A720
2x 1.8GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Elite Gen 5 V Series (3nm)
2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz
6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz
Tensor G6 (2nm)
1x 4.11 GHz C1-Ultra
4x 3.38 GHz C1-Pro
2x 2.65 GHz C1-Pro
Xclipse 950Adreno 840PowerVR CXTP-48-1536
8 GB LPDDR5X12 GB LPDDR5X12 GB LPDDR5X
128/256/512 GB UFS 4.0256/512 GB UFS 4.0256/512 GB UFS 4.1
Kamera Utama
50MP f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
8MP, f/2.4, OIS (Telefoto 3X)
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS, (Sudut Lebar)
8MP f/2.3 (Ultra Lebar)
50MP, f/2.0, OIS (Telefoto 2.5X)
Kamera Utama
48MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
13MP f/2.2 (Ultra Lebar)
10.8MP f/3.1, OIS (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Hadapan
12MP f/2.2
Kamera Hadapan
32MP f/2.2
Kamera Hadapan
10.5MP f/2.2
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio Stereo
Speaker Bose
Audio Stereo
4900 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W Qi2
Pengecasan berbalik 4.5W
6330 mAh
Pengecasan berwayar 100W
Pengecasan nirwayar 50W
Pengecasan berbalik 22.5W
4985 mAh
Berwayar 30W
Nirwayar 15W
One UI 9, Android 17

Kemas kini
7+7 tahun
HyperOS 3, Android 16

Kemas kini
4+6 tahun
Android 17

Kemas kini
7+7 tahun
Dilancarkan
Ogos 2026
Dilancarkan
September 2026
Dilancarkan
Ogos 2026
RM 2899 (8/128GB)
RM 3299 (8/256GB)
RM 4099 (8/512GB)
RM 3299 (8/256GB)
RM 3499 (8/512GB)
RM 3999 (12/256GB)
RM 4599(12/512GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy S26 FE
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Samsung Galaxy S26 FE pada hemat saya boleh juga diberikan nama sandaran Galaxy S25 FE Remastered. Ia adalah peranti yang sama tapi tak serupa dari segi rekabentuk, ciri, bateri dan kemampuannya. Perbezaan hanyalah S26 FE dilengkapi cip lebih berkuasa dan sistem operasi terkini berasaskan Android 17.

Dalam penggunaan selama seminggu, prestasi melancarkan aplikasi, kelancaran antaramuka dan ciri Galaxy AI yang ditawarkan adalah setanding Galaxy S26 yang lain. Dengan harga jualan bermula RM2499 (8/128GB), Samsung Galaxy S26 FE adalah model Galaxy S26 paling mampu milik di pasaran tempatan. Selepas menerima rebat oleh Samsung, harga jualan S25 FE tahun ini juga adalah lebih murah berbanding S25 FE tahun lalu untuk konfigurasi memori/storan yang sama.

Samsung Galaxy S26 FE saya sarankan kepada mereka yang mencari telefon mercu dengan sokongan kemas kini jangka panjang dan bagi mereka yang memang meminati Samsung. Alternatif lain di pasaran sekarang ialah Poco F9 Pro dan Google Pixel 11 dengan harga jualan yang setanding.

Pro

  • Rekaan kemas dan premium.
  • Cip Exynos 2500 masih berkuasa.
  • Menggunakan One UI 9 berasaskan Android 17.
  • Kalis air IP68.
  • Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Tiada penaiktarafan sensor kamera utama.
  • Sekadar 8GB RAM.
  • Bateri agak kecil pengecasan pula sederhana pantas.
  • Sekadar S25 FE dengan cip dinaiktaraf.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts