[VIDEO] Imam mengaku tidak salah curi pistol 

by Oh! Semput


HOME Posted on 14 Feb 2019 10:02:37


ZULKIFLI MANZOR 

14 Februari 2019 12:08 PM

KUALA PILAH - Seorang imam yang ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya dan melepaskan satu das tembakan ke udara menggunakan sepucuk pistol di rumahnya di Kampung Bukit Kadir, Nilai pada 24 Januari lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini.

Tertuduh, Sulaiman Abdul Rahman, 63, yang juga bekas anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak salah diatas tiga pertuduhan iaitu mencuri, memiliki senjata api dan memiliki peluru tanpa kebenaran.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki satu pucuk pistol Revolver .38 SPL 3" Smith & Wesson tanpa kebenaran yang sah pada 27 Januari lalu di Jalan Sidang Mohd. Nor, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang, Selangor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, masa dan tempat yang sama, tertuduh didakwa memiliki
tujuh butir peluru Winchester.38 Special, satu butir peluru .38 SPL dan satu butir peluru .38 SME tanpa kebenaran sah.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, Sulaiman didakwa mencuri pistol berkenaan dan 30 peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kaunter stor Cawangan Persenjataan Balai Polis Kuala Pilah pada 27 Disember 2007.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mencadangkan tiada jaminan diberikan keatas tertuduh kerana pertuduhan dilakukan dibawah Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Peguam tertuduh, M.Gobi memohon diberikan jaminan dengan mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang menghidap  sakit prostat selain perlu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seremban. 

Hakim Nariman Badruddin tidak menawarkan jaminan kerana membabitkan kes serius dan menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Akhbar Kosmo! pada 27 Januari lalu melaporkan tertuduh ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol gara-gara berselisih faham dengan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek dipercayai bertindak demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan di rumah mereka yang telah berbuah kepada penduduk kampung.

Polis berjaya menemui pistol jenis Revolver itu yang ditanam oleh suspek di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang pada 28 Januari lalu.

Pistol jenis Revolver itu yang dilaporkan hilang dari stor senjata Balai Polis Kuala Pilah pada 31 Disember 2007 dipercayai dicuri oleh lelaki berkenaan semasa dia masih berkhidmat sebagai anggota polis. - K! ONLINE

's

SUMBER ASAL


Norlida Ishak Shop
Leave a Comment:

Related News