by Oh! Semput

PUSAT beli belah Beeliar Village di Perth.
CANBERRA: Seorang wanita Islam bertudung diserang dengan botol bir dan tudungnya dikoyak selepas menjawab ‘selamat bercuti’ kepada ‘Merry Christmas’ yang diucapkan penyerang.
Serangan itu berlaku di pusat beli belah Beeliar Village di Perth.
Mangsa, 33, yang enggan dikenali memberitahu WAToday beliau berjalan masuk ke pasar raya Coles apabila seorang lelaki menjerit ‘Merry Christmas.’
“Saya berpaling dan berkata ‘selamat bercuti’ kepadanya. Beliau kemudian menjerit, ‘tiada Merry Christmas’ dan saya cuma berkata, ‘ok’, kemudian dia menggunakan perkataan tidak baik memanggil saya Islam.
“Saya bertanya apa yang dia katakan dan nampak dia mengambil botol. Saya segera berpaling dan dia melemparkan botol kepada saya dan ia terkena bahu dan leher saya. Bayangkan jika saya tidak berpaling, ia mungkin mencederakan muka saya,” katanya.
Beliau berkata, tudungnya ditarik ketika bergelut dan dibuang lelaki berkenaan berhampiran pusat beli belah.
Walaupun ibu tunggal itu terkejut dan trauma dengan kejadian yang berlaku Jumaat lalu, beliau memutuskan untuk mengikut lelaki berkenaan sambil menghubungi polis.
Katanya, lelaki itu kemudian membaling kayu dan batu ke arahnya.
“Saya menjerit pada telefon kerana menyangka dia akan membunuh saya. Saya melarikan diri ke arah kenderaan yang datang untuk menjauhkan diri daripada lelaki yang mengancam menumbuk muka saya.
“Saya pernah dimalukan pada masa lalu kerana agama saya tetapi kali ini paling teruk,” katanya.
Wanita terbabit kembali ke pusat beli belah itu dan menunggu ketibaan polis.
Polis Cockburn menyiasat serangan itu dan merayu sesiapa yang ada maklumat mengenainya supaya menghubungi Crime Stoppers.
Mangsa turut melaporkan kejadian itu kepada pertubuhan Islamophobia Register Australia dan presidennya, Mariam Veiszadeh, dipetik sebagai berkata ia antara ‘serangan paling buruk’ pernah didengar setakat ini.
Serangan dilakukan seiring meningkatnya kejadian serangan terhadap wanita Islam bertudung di pelbagai negara lain dunia termasuk Amerika Syarikat dan Britain. – Reuters
Category: Dunia