by Oh! Semput

SINGAPURA: Dua warga asing - Yu Xiaorong, seorang warga China, dan Yelena Kalugina dari Kazakhstan - dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu semalam kerana cuba menyogok para pegawai polis.
Yu, yang berusia 48 tahun, mengaku bersalah pada bulan lalu atas satu tuduhan rasuah di mana dia menawarkan sebanyak $1,000 kepada Inspektor Lam Wai Kit.
Insiden tersebut berlaku pada bulan Julai tahun lalu selepas dia ditangkap di Kelab Kuda Singapura atas kegiatan membuat taruhan secara haram. Semasa memberi keterangan di balai polis, Yu menawarkan untuk membayar Inspektor Lam supaya membebaskannya, namun pegawai polis itu menolak wang sogok itu.
Aduan mengenai insiden itu kemudiannya dilaporkan kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Kalugina, 26 tahun, didakwa bulan lepas atas satu kesalahan menawarkan rasuah sebanyak $2,150 kepada Inspektor Loh Loong Ee. Dia menawarkan jumlah itu semasa sesi soal siasat pada 28 Jun mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Walaupun pegawai polis tersebut memberikan amaran kepadanya bahawa ia adalah satu kesalahan untuk menyogok pegawai polis di Singapura, Kalugina mengulangi tawarannya itu agar tidak ditangkap. Pegawai polis itu menolak wang sogok berkenaan dan menangkapnya.
Insiden itu dirujuk kepada CPIB. Di bawah Akta Pencegahan Rasuah, ia adalah satu kesalahan untuk memberi rasuah, atau cuba memberikan rasuah kepada pegawai awam.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah boleh didenda sebanyak $100,000, atau dipenjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
- TODAY/ur