by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan di Janda Baik, Pahang, susulan kebimbangan penduduk berhubung peningkatan kehadiran warga asing serta pembabitan mereka dalam aktiviti ekonomi di kawasan itu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya mengambil serius kebimbangan penduduk berhubung kehadiran dan pembabitan warga asing dalam kegiatan ekonomi di sekitar Janda Baik, Bentong, Pahang seperti dilaporkan media pada 11 Oktober lalu.
Katanya, kehadiran warga asing di Janda Baik turut dipengaruhi oleh peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan yang membabitkan resort, chalet dan premis penginapan, selain sektor pertanian dan perniagaan.
"Keadaan ini juga boleh membuka ruang kepada penggajian warga asing secara tidak sah serta penyediaan penempatan yang berpotensi melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
"Sehubungan itu, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan berasaskan risikan dengan memberikan tumpuan bukan sahaja kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), tetapi juga majikan, pemilik atau pengendali premis serta mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis di bawah kawalan mereka," katanya dalam kenyataan.
Zakaria berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 55B dan Seksyen 55E, mengikut peruntukan yang berkaitan.
Beliau berkata, pada 24 April lalu, JIM sudah melaksanakan operasi di Janda Baik, membabitkan pemeriksaan di lapan lokasi
Katanya, hasil operasi itu, seramai 82 individu diperiksa dan 38 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Usaha ini akan diteruskan melalui peningkatan pemantauan, risikan dan operasi penguatkuasaan berdasarkan maklumat serta aduan yang diterima, dengan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen.
"Kami juga menghargai kerjasama penduduk setempat dan persatuan penduduk dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.
"Maklumat yang tepat dapat membantu JIM membuat pengesahan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa memerlukan orang awam mendedahkan diri kepada sebarang risiko.
"JIM akan terus memantau perkembangan di Janda Baik serta memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan dan berkesan bagi menangani pelanggaran undang-undang imigresen," katannya.
Ahad lalu, BH melaporkan sekian lama terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan sebagai antara tarikan pelancongan, Janda Baik kini berdepan isu kehadiran pendatang dari Indonesia, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.
Berdasarkan maklumat dikumpul BH, mereka ke kawasan berkenaan bukan sahaja sebagai pekerja, malah turut meneroka peluang perniagaan dan pertanian.
Penduduk ditemui BH mendakwa, warga asing di kawasan itu yang kini dianggarkan ribuan orang semakin aktif dalam kegiatan ekonomi setempat. #BeritaHarian