by Oh! Semput
WhatsApp kini sedang menguji ciri baharu bernama Events Hub. Ia muncul sebagai halaman khas dalam aplikasi untuk memudahkan pengguna mencipta, mengurus dan menyemak acara. Sebelum ini, acara hanya boleh dibuat dalam kumpulan atau komuniti, tetapi kini ia juga boleh diwujudkan dalam perbualan individu atau terus melalui hub tersebut.

Melalui fungsi ini, pengguna boleh menetapkan nama, tarikh, masa dan lokasi acara. Mereka juga boleh menambah pautan panggilan WhatsApp serta menentukan sama ada tetamu dibenarkan membawa orang lain. Jemputan boleh dihantar melalui pautan khas termasuk kepada mereka yang tidak mempunyai akaun WhatsApp.
Untuk mencipta acara baharu, pengguna hanya perlu membuka hub dan pilih “Create event”. Kemudian isi butiran seperti nama, keterangan ringkas, tarikh, masa mula dan tamat, lokasi, pautan panggilan WhatsApp serta peringatan. Secara automatik, peringatan ditetapkan satu jam sebelum acara tetapi boleh diubah. Nama hos diisi berdasarkan akaun manakala gambar muka depan boleh ditambah untuk memudahkan pengecaman acara.

Seperti dinyatakan tadi, jemputan boleh diakses walaupun oleh tetamu tanpa akaun WhatsApp. Mereka hanya perlu membuka pautan dan mengesahkan kehadiran dengan nama serta nombor telefon. Selepas itu, lokasi penuh dan pautan panggilan akan dipaparkan. Hos dapat melihat senarai tetamu lengkap dengan nama, respons dan nombor telefon, manakala tetamu yang hadir hanya dapat melihat nama serta respons tetamu lain.
Buat masa ini, ciri ini hanya ditawarkan kepada penguji beta terpilih. WhatsApp dijangka akan memperluaskannya kepada lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.