by Oh! Semput
Bee Leng Ong bergambar bersama dengan pemandu teksi berkenaan, Zamrud/Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap pemandu teksi, sekurang-kurangnya kisah kejujuran seorang pemandu teksi yang telah memulangkan beg duit seorang penumpang wanita mampu mengubah pandangan buruk orang awam terhadap mereka.
Seorang wanita bernama Bee Leng Ong menerusi laman Facebooknya baru-baru ini meluahkan perasaan terharu dan mengucapkan terima kasih berikutan sikap baik hati seorang pemandu teksi yang telah memulangkan beg duitnya selepas ia tercicir di dalam kenderaan tersebut.
“Saya lebih yakin bahawa dalam kalangan kita ada orang yang jujur. Saya secara tidak sengaja tercicir beg duit di dalam teksi dan lelaki budiman ini, En Zamrud sanggup meluangkan masa untuk menghubungi dan memulangkan beg duit kepada saya. Saya sangat terharu.

“Teksinya bernombor plat HBB 3315. Sokonglah (pemandu teksi) yang budiman ini,” tulis beliau dalam catatan di laman sosial tersebut, yang mana turut memuat naik gambar foto ramai (wefie) bersama pemandu teksi berkenaan.
Perkongsian Leng Ong mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan pengguna Facebook, yang rata-rata memuji sikap jujur pemandu teksi itu.
Mengulas lanjut, pemandu teksi berkenaan, Zamrud, 58, ketika dihubungi Malaysian Digest memberitahu kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada Isnin lalu ketika Leng Ong bersama tiga penumpang lain menaiki teksinya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurut Zamrud, beliau pada mulanya tidak menyedari beg duit penumpangnya itu telah tercicir di dalam teksinya selepas menghantar wanita itu ke Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam bagi menghadiri satu mesyuarat.
“Saya berpengkalan di Lapangan Terbang Subang, selepas hantar beliau saya terus pergi isi gas dan balik semula ke Lapangan Terbang. Saya tidak ambil mana-mana penumpang selepas itu. Saya pun tidak sedar ada beg duit tercicir di tempat duduk belakang.
“Dua jam kemudian baharu saya ambil penumpang lain – seorang lelaki Inggeris dan Cina, yang minta saya hantar mereka ke Bandar Utama. Salah seorang daripada mereka menemui beg duit tersebut dan memberikannya kepada saya,” katanya, hari ini.
Zamrud yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai Pemasaran di Pelabuhan Klang berkata, beliau yakin bahawa beg duit itu adalah kepunyaaan Leng Ong, sebelum cuba mencari sebarang maklumat di dalam beg duit itu untuk beliau menghubungi pemiliknya.
Bagaimanapun, Zamrud buntu apabila tidak menemui sebarang nombor telefon yang boleh dihubungi untuk memaklumkan mengenai perkara itu dan jalan terakhir adalah dengan menyerahkan beg duit tersebut kepada kaunter khidmat pelanggan.
“Ketika itu dah dekat pukul 5 petang, saya pergi ke masjid dahulu untuk menunaikan solat (Asar). Saya berdoa, minta-minta dipermudahkan.
“(Selepas selesai solat) Saya tak puas hati, saya buka lagi sekali beg duit beliau dan menemui satu kad. Saya terus hubunginya dan memaklumkan mengenai beg duit beliau. Masa itu, beliau (Leng Ong) berada di Lapangan Terbang untuk penerbangan balik ke Pulau Pinang pada pukul 8 malam,” jelas Zamrud, yang baharu menjadi pemandu teksi selama lima tahun.
Katanya, beliau menemui Leng Ong kira-kira jam 6 petang bagi memulangkan beg duit tersebut.
“Beliau sangat gembira dan saya pun tidak sangka beliau kongsikan pengalaman tersebut di laman Facebooknya. Saya lebih selesa untuk pulangkan sendiri (hak orang), berbanding beri kepada orang lain untuk pulangkan.
“Saya hanya jalangkan tanggungjawab saya. Beliau sedar beg duitnya hilang selepas selesai mesyuarat pada pukul 5.30 petang.
"Beliau bagi token kepada saya, tapi saya enggan terima tetapi paksa saya (terima) dengan berkata ‘saya layak terimanya’. Beliau belanja saya coffee Starbucks juga,” luah bapa kepada enam orang anak itu dengan perasaan gembira kerana telah berjaya memulangkan beg duit penumpangnya itu.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua individu untuk memulangkan semula hak orang lain dan perkara itu menjadi pegangan hidupnya dalam mencari rezeki yang halal.
“Saya perlu menjaga imej pemandu-pemandu teksi, banyak orang kutuk (pemandu teksi), tidak betul. Saya tidak boleh bersikap sedemikian (tidak jujur). Itu adalah prinsip hidup saya,” katanya.
Bagi orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan teksi, Zamrud memberikan perkhidmatan kepada semua penumpang di sekitar Lembah Klang dan beliau berpangkalan di Lapangan Terbang Subang. Terima kasih 'Encik Teksi' kerana jujur!