by Oh! Semput

KABUL: Pegawai Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS) meluahkan kebimbangan yang semakin memuncak mengenai hubungan baik antara Russia dan Taliban yang dianggap menyukarkan keselamatan yang tidak menentu di negara itu.
Pegawai Russia menafikan mereka membekalkan bantuan kepada militan, yang berperang mendapatkan wilayah lebih besar dan menyebabkan banyak kematian dengan berkata, hubungan cuma bertujuan membawa Taliban ke meja rundingan.
Pemimpin di Kabul pula berkata, sokongan Russia kepada Taliban Afghanistan setakat ini bermotifkan politik.
Namun siri mesyuarat baru-baru ini yang dikatakan diadakan di Moscow dan Tajikistan membuatkan perisik dan pegawai pertahanan Afghanistan bimbang mengenai lebih banyak sokongan secara langsung termasuk senjata dan dana.
Seorang pegawai keselamatan kanan Afghanistan menyifatkan sokongan Russia itu sebagai ‘aliran baru yang bahaya’, analisis yang turut dipersetujui komander Amerika di Afghanistan, Jeneral John Nicholson.
Beliau memberitahu wartawan di taklimat akhbar di Washington minggu lalu bahawa Russia menyertai Iran dan Pakistan sebagai negara yang mempunyai pengaruh songsang di Afghanistan, dan berkata Moscow memberikan sokongan kepada Taliban.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, menyangkal kenyataan Nicholson dalam taklimat di Moscow pada Rabu, menyifatkan ia naif dan tidak tepat.
“Kami berulang kali menegaskan Russia tidak melakukan sebarang rundingan secara rahsia dengan Taliban dan tidak memberikan sebarang bentuk bantuan kepada mereka,” katanya.
Zakharova berkata, Russia menyokong rundingan damai di Afghanistan, yang cuma boleh diadakan dengan memupuk hubungan dengan semua pihak termasuk Taliban.
Kedutaan Russia di Kabul menjadualkan sidang akhbar esok untuk membincangkan hubungan kedua-dua negara di tengah laporan Parlimen Afghanistan merancang menyiasat hubungan Moscow dengan Taliban. – REUTERS
Category: Dunia