by Oh! Semput
BUKAN sahaja pemimpin dan perwakilan UMNO, malah semua rakyat pastinya mengingati celoteh, jenaka dan ingatan Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu lepas.
Membahaskan usul agama dan pendidikan, perbahasan Syamsul Debat hampir 43 minit itu ternyata membuatkan hadirin di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tertawa sakan dengan jenakanya.
Persoalannya, adakah Syamsul Debat sekadar berjenaka kosong?
Sudah tentu tidak, sebaliknya perbahasan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban yang juga Presiden Alumni Pendebat Malaysia itu penuh dengan sindiran dan ingatan yang maksudnya begitu mendalam.
Jadi, adakah pimpinan dan ahli UMNO mengambil iktibar atau sekadar tertawa besar di Dewan Merdeka?
Rakyat khususnya umat Islam seharusnya berbangga ada ilmuan agama dalam kerajaan yang dapat menegur perkara-perkara yang boleh merosakkan dan membusukkan nama agama, bangsa, parti dan negara.
Apakah tiga perkara itu? Adakah ia penting untuk dipraktikkan?
Syamsul Debat meminta semua ahli UMNO jangan mengambil hak orang lain, jangan dengki dan bersyukur dengan apa yang kita ada dan ketiga, biarlah perbuatan kita melambangkan ketundukan kepada yang memberi nikmat iaitu Allah SWT.
Cukup bermakna ingatan ini. Bukan sahaja ahli UMNO malah seluruh umat Islam di negara ini perlu mengingatinya.
Sebagai parti yang perjuangannya membela agama, bangsa dan negara, UMNO perlu bersikap seperti orang beriman berdasarkan syariat Islam.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berpesan, tiga tanda orang yang beriman itu ialah taat kepada Allah, menjauhkan perkara haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Ini yang perlu dilakukan oleh UMNO secara berterusan, biarlah apa sahaja dugaan, tempuhinya dengan sabar dan laksanakan tugas dan amanah dalam membela rakyat di negara ini berlandaskan syariat Islam.
Itulah yang dimaksudkan oleh Syamsul Debat. UMNO perlu jadi inklusif terutama berjuang mengikut landasan Islam dan meninggalkan perkara dilarang agama.
Sesungguhnya politik tidak boleh dipisahkan dari Islam. Kepada ilmuan agama, teruskan menegur, inilah yang kita mahu dalam kepimpinan Melayu.
Abaikan apa jua kata orang lain khususnya kiasan mengenai ‘Jangan hanya tangkap penerima rasuah’.
Hanya orang bebal yang tidak faham sindiran sahaja akan melatah dan membuat tuduhan melulu mengenainya.
Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.