by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membantu memberi khidmat nasihat kepada Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan Korea Selatan (NACF) yang akan membangunkan produk halal di negara itu.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata pihak NACF datang ke Malaysia pada September lalu bagi mendapat khidmat rundingan dan nasihat daripada ANGKASA dan JAKIM untuk membangunkan produk halal.
“Susulan pertemuan itu, wakil ANGKASA dan JAKIM berkunjung ke Korea Selatan untuk berunding sebanyak dua kali.
“NACF dijangkakan menghasilkan produk halal bagi pasaran Korea Selatan pada suku kedua tahun depan. Produk halal ini dibangunkan bukan untuk pelanggan Islam semata-mata tetapi juga disebabkan aspek keselamatan yang sangat dititik berat di negara ini.
“NACF memilih mendapat khidmat nasihat JAKIM dalam penghasilan produk halal kerana status halal JAKIM adalah yang terbaik di dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kelab Jaringan Koperasi Wanita, hari ini.
Abdul Fattah berkata, kerjasama dengan NACF itu juga akan memberi peluang kepada koperasi kecil di bawah ANGKASA memasarkan produk halal mereka Korea Selatan.
Category: Semasa