by Oh! Semput
Tiga angkasawan berlepas menaiki roket China pada Rabu, termasuk seorang kru warga asing buat julung kalinya, menuju ke stesen angkasa Tiangong sebagai sebahagian daripada misi Shenzhou-24, menurut media Kerajaan China.
Beijing telah melaburkan berbilion dolar dalam program angkasa lepas China dalam usahanya untuk mendaratkan angkasawan di Bulan sebelum tahun 2030, satu perlumbaan yang turut disertai Amerika Syarikat menerusi program Artemis.
Roket Long March 2-F berlepas di tengah kepulan api dan asap pada jam 8:18 pagi (0018 GMT) dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China di bawah langit merah jambu, menurut rakaman penyiar rasmi CCTV.

Kapal angkasa itu berjaya berpisah daripada roket pembawa kira-kira 10 minit selepas pelancaran dan memasuki orbit, kata Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).
Pelancaran itu merupakan satu “kejayaan penuh”, kata agensi tersebut sambil menambah bahawa semua kru berada dalam keadaan baik.
Misi terbaharu itu dikendalikan oleh juruterbang kapal angkasa Tang Hongbo, jurutera penerbangan Wu Yi dan angkasawan dari Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali.
Ali, seorang juruterbang Tentera Udara Pakistan dan pakar muatan (payload), merupakan angkasawan asing pertama yang menyertai misi angkasa China serta warga bukan China pertama yang menaiki stesen angkasa Tiangong.
Angkasawan berusia 40 tahun itu akan menyertai penerbangan orbit singkat yang dijangka berlangsung selama kira-kira lima hari sebelum kembali ke Bumi bersama kapal angkasa Shenzhou-23, yang berlabuh di stesen angkasa Tiangong pada Mei lalu.

Agensi angkasa Pakistan memaklumkan Ali akan menjalankan eksperimen di orbit, termasuk penanaman mikroalga sebagai potensi sumber makanan dan oksigen untuk misi angkasa masa hadapan, selain menguji kesan penerbangan angkasa terhadap benih kuinoa.
Selepas memasuki orbit, kapal angkasa tersebut dijadualkan berlabuh di stesen angkasa Tiangong, sebelum kru Shenzhou-24 menyertai tiga angkasawan yang kini berada di stesen berkenaan.
Tiga angkasawan tersebut ialah Zhu Yangzhu, 40, Lai Ka-ying dan Zhang Zhiyuan, yang juga berusia 40 tahun.
Lai merupakan angkasawan pertama dari Hong Kong dan satu-satunya wanita yang berada di stesen itu ketika ini.
Ali dijadualkan pulang ke Bumi bersama Lai dan Zhang.
Sementara itu, Zhu akan kekal di stesen angkasa untuk melengkapkan misi tinggal di angkasa selama setahun penuh buat pertama kali bagi China, satu ujian ketahanan penting untuk cita-cita penerokaan Bulan serta angkasa lepas jauh pada masa hadapan.
Ali bukanlah warga Pakistan pertama ke angkasa lepas, selepas pengembara kutub yang berpangkalan di Monaco, Namira Salim, menyertai misi Galactic 04 oleh Virgin Galactic pada Oktober 2023.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sebelum ini menyifatkan misi berkenaan sebagai bukti “kepercayaan luar biasa, saling menghormati dan persaudaraan berkekalan” antara kedua-dua negara.
“Persahabatan Pakistan-China melangkaui puncak Himalaya, dalam perjalanannya ke angkasa lepas,” katanya.
– AFP
{suggest}
Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong WISER.MY.