PM Anwar Seru Rakyat Berdoa Agar Jerebu Terkawal Menjelang Hari Kebangsaan

by Oh! Semput


6
SHARES
78
VIEWS
Posted on 26 Aug 2026 15:00:42

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan agar keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan negara dapat dikawal menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Anwar berkata, persiapan untuk kedua-dua sambutan berkenaan sedang dilaksanakan, namun keadaan kualiti udara ketika ini perlu diberi perhatian supaya keselamatan dan kesihatan rakyat tidak terjejas.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Telekom Malaysia (TM), pada Rabu.

Seruan itu dibuat ketika beberapa kawasan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 7 malam, 11 kawasan mencatatkan bacaan melebihi 100.

IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 166, diikuti Samarahan sebanyak 164 dan Sri Aman dengan 162. Kuching turut berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan 105.

Di Semenanjung, Cheras merekodkan bacaan 157, Nilai (155), Shah Alam (154), Batu Muda (152), Putrajaya (151), Seremban (149) dan Johan Setia (139).

Sementara itu, sebanyak 50 kawasan merekodkan kualiti udara sederhana, manakala enam kawasan berada pada tahap baik.

Keadaan jerebu turut menjadi perhatian kerajaan dalam persiapan sambutan Hari Kebangsaan. Kerajaan sebelum ini memaklumkan acara pada 31 Ogos tidak akan dibatalkan, namun skala atau lokasi penganjuran boleh diubah sekiranya keadaan cuaca dan kualiti udara tidak mengizinkan.

Antara faktor yang akan dipertimbangkan ialah bacaan IPU semasa, ramalan cuaca serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan.

Dengan sambutan yang dijangka menghimpunkan ribuan peserta serta pengunjung, keputusan mengenai bentuk penganjuran perlu mengambil kira risiko pendedahan kepada udara tercemar, terutama terhadap kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

Justeru, perkembangan kualiti udara dalam beberapa hari akan datang menjadi penentu penting sama ada sambutan dapat dilaksanakan seperti dirancang atau memerlukan penyesuaian tertentu bagi memastikan acara berlangsung dalam keadaan selamat.

PM Anwar Seru Rakyat Berdoa Agar Jerebu Terkawal Menjelang Hari Kebangsaan first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts