Anwar Tegaskan Tatakelola Terbaik Dalam FELDA, Elak Kesilapan Pengurusan Berulang

by Oh! Semput


1
SHARES
18
VIEWS
Posted on 07 Jul 2026 15:01:25

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ahli Lembaga serta barisan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) supaya mengamalkan tatakelola yang telus, berintegriti dan berkesan bagi memastikan kesilapan pengurusan yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.

Beliau berkata, prinsip tatakelola yang diterapkan Kerajaan MADANI perlu dijadikan asas dalam pentadbiran FELDA kerana ia bukan sahaja mampu memperkukuh institusi berkenaan, malah memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara.

Menurut Anwar, kerajaan ketika ini masih menanggung beban kewangan hampir RM1 bilion setahun bagi melunaskan komitmen yang berpunca daripada kelemahan pengurusan terdahulu, sekali gus menegaskan bahawa peneroka tidak seharusnya menanggung akibat daripada penyalahgunaan amanah atau keputusan pentadbiran yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah seperti sebelum penyenaraian FGV bagi meningkatkan semula keuntungan kilang sawit dan mengukuhkan kedudukan Koperasi Permodalan FELDA (KPF). Langkah itu dijangka mampu menjana tambahan pendapatan sehingga RM42 juta kepada warga peneroka melalui KPF.

Bagi memperkasakan pembangunan komuniti FELDA, kerajaan turut memperuntukkan RM15.85 juta bagi memperluas literasi digital di 317 rancangan FELDA menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dalam sektor pendidikan pula, sebanyak RM10 juta disediakan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan FELDA, manakala RM3 juta lagi diperuntukkan untuk memperkukuh operasi Skuad MAYA FELDA, yang telah melaksanakan lebih 18,000 saringan kesihatan menerusi 1,555 sukarelawan di 371 tanah rancangan di seluruh negara.

Anwar turut menjelaskan bahawa penganjuran Hari Peneroka di Jengka berbanding di ibu kota berjaya mengurangkan kos penganjuran, selain memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat. Beliau menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan yang mampu memperkukuh FELDA serta memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh warga peneroka dan generasi akan datang.

Anwar Tegaskan Tatakelola Terbaik Dalam FELDA, Elak Kesilapan Pengurusan Berulang first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts