by Oh! Semput

KENDERAAN yang dinaiki lima sekeluarga yang maut, manakala lima lagi parah dalam nahas selepas sebuah kenderaan pelbagai guna ke arah Kuala Terengganu. Gambar kecil Mahani Ngah. – Foto JBPM
JITRA: “Dia langsaikan semua upah saya sebelum ke Terengganu,” kata jiran yang juga pengasuh anak Mahani Ngah, 42, yang maut dalam nahas di Kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2, Kemaman, Terengganu, petang semalam.
Saadah Daud, 56, berkata dia berjumpa Maznah dua minggu lalu sebelum arwah pergi bercuti bersama keluarganya.
Saadah menjaga anak bongsu Mahani, Ahmad Mukriz, 5, sejak kanak-kanak itu berusia 10 bulan.
“Sebelum itu, Maznah datang ke rumah saya untuk membayar upah mengasuh anaknya, saya cakap masih awal tapi dia cakap nak bayar awal sebab tak mahu rasa hutang.
“Dia maklumkan akan pergi bercuti dan pulang ke kampung halaman suaminya di Terengganu, cuma dia tidak beritahu saya tarikh mereka akan pergi bercuti,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Guar, Kodiang di sini, hari ini.
Saadah berkata, dia terkejut mengetahui kemalangan yang menimpa Mahani selepas jiran lain memaklumkan kejadian terbabit.
“Selepas itu, saya hanya tahu dua anaknya meninggal apabila menonton berita di televisyen malam tadi,” katanya.
BH hari ini melaporkan perjalanan satu keluarga untuk bercuti di Terengganu berakhir tragedi apabila enam maut, manakala empat lagi parah selepas kenderaan pelbagai guna Hyundai Starex yang mereka naiki hilang kawalan dan melanggar tiang pembahagi jalan, kira-kira jam 6.10 petang.
Category: Semasa