by Oh! Semput
Menepati ramalan ramai, penyanyi Azharina Azhar muncul sebagai Juara Gegar Vaganza musim ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam malam ini.
Azharina Azhar yang membawakan lagu medley Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang nyanyian asal Nike Ardilla menewaskan lima peserta lain iaitu Siti Sarah, Intan Sarafina, Ameng, Zarul dan Gmie.
Baca Juga: Juara Gegar Vaganza 3: Azharina Azhar Ada Kelebihan
Kemenangan itu melayakkan Azharina Azhar membawa pulang hadiah kemenangan yang terdiri daripada wang tunai RM100,000 sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Itali, rantai mutiara, pakej penginapan, baucer barangan tunai, sebuah trofi serta rakaman single terbitan Astro.
Sementara itu, Siti Sarah memenangi tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah, rantai mutiara, baucer barangan tunai dan trofi.
Sarah turut memenangi hadiah Pilihan Penonton dan menerima wang tunai RM5,000.
Vokalis kumpulan Umbrella, Zarul pula berada di tangga ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sebidang tanah lot banglo pakej percutian ke Mesir, rantai mutiara, baucer barangan tunai dan trofi.
Ameng yang menduduki tempat keempat membawa pulang RM15,000, pakej percutian dan trofi.
Sementara itu, Intan Sarafina dan Gmie masing-masing berjaya di tempat kelima dan keenam.
Kesemua persembahan peserta pada malam ini diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah dan penampilan istimewa, Hetty Koes Endang.
Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad dan Pengasas Vida Beauty Cosmetic, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.
Baca Juga: Azharina Azhar Ungguli Konsert Ketiga Gegar Vaganza
Syabas dan tahniah kepada Azharina Azhar juga kepada ‘Azharina Azhar Angels’