Azizulhasni Ketuai Skuad Trek Basikal Sukan SEA 2017

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 08 Dec 2016 03:00:48

KUALA LUMPUR – Kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016, Mohd. Azizulhasni Awang pasti menyemarakkan semangat kem Malaysia untuk memenangi lebih daripada 11 pingat emas menerusi acara trek dalam Sukan Sea 2017 yang dijadual berlangsung pada 28-30 Ogos tahun depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd. Wahab percaya penampilan pelumba berstatus bintang dunia itu akan membuka laluan kepada pelumba lain termasuk Fatehah Mustafa dan Shah Firdaus Sahrom untuk turut cemerlang dalam temasya dwitahunan itu.

“Saya percaya kehadiran Azizulhasni akan menjadi pemangkin kepada pelumba lain. Sekiranya Azizulhasni mendominasi acara keirin dan pecut individu, saya percaya kem Malaysia mampu bolot antara 11 dan 13 pingat emas.

“Saya juga percaya Shah Firdaus dan Fatehah tidak akan bermasalah untuk rangkul emas dalam acara masing-masing. Begitu juga, kita pasti dominasi acara scratch dan 1 kilometer ujian masa individu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menyatakan bahawa acara trek akan membuka tirai pada 28 Ogos, bermula dengan acara scratch 15km omnium elit lelaki disusuli pusingan kelayakan pecut berpasukan lelaki dan wanita elit.

“Acara yang pasti menjadi tumpuan ramai di Velodrom Nilai itu nanti sudah pasti final keirin lelaki elit dan wanita elit pada 29 Ogos 2017. Acara ini akan menampilkan dua bintang Malaysia yang bertaraf dunia iaitu Azizulhasni dan Fatehah.

“Sehari kemudian, dua pelumba bintang ini akan turun sekali lagi untuk mengesahkan pingat emas acara pecut individu. Saya percaya kita akan rangkul empat emas menerusi acara keirin dan pecut individu lelaki serta wanita elit.

“Seterusnya Fatehah mampu tambah kilauan emas menerusi acara 500m ujian masa individu. Saya tidak nampak ada pelumba lain dari rantau Asia Tenggara yang mampu mencipta kejutan ke atas Fatehah,” katanya.

Mohd. Azizulhasni adalah pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil manakala Fatehah adalah pemenang emas acara 500m ujian masa Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) di Kuala Lumpur.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) bagaimanapun mengingatkan barisan bintang trek Malaysia agar tidak terlalu angkuh sehingga gagal melakukan kayuhan emas di Velodrom Nilai nanti.

“Ingatlah kisah Sukan SEA 2001 di Velodrom Cheras. Waktu itu kita ada ramai pelumba trek yang hebat seperti Mohd. Mahazir Hamad, Jamil Kadiron, Wong Ah Thiam dan Hardi Razali. Malangnya kem Malaysia dikejutkan dengan teruk oleh persembahan cemerlang pasukan Indonesia.

“Saya amat berharap dan berdoa agar janganlah tragedi Sukan SEA 2001 berulang di Velodrom Nilai. Apa sahaja boleh berlaku dalam arena trek. Misalnya berlaku masalah teknikal. Atau terjatuh akibat tergesel,” katanya.

Azizulhasni mengumpul 2,470 mata dalam senarai terbaru dikeluarkan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Andrii Vynokurov dari Ukraine kedua dengan 2,380 mata manakala pelumba Republik Czech, Tomas Babek ketiga dengan 2,305.

Menerusi laman sosial Facebook rasminya berkata, dia gembira kerana berada kembali di kedudukan pertama.

“Terima kasih kepada setiap seorang daripada anda yang sentiasa memberikan saya sokongan padu. Biarlah keputusan yang menceritakannya,” katanya.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts