by Oh! Semput

Kuala Nerus: Banjir yang melanda beberapa kawasan di Terengganu sejak semalam semakin pulih dan ada mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pada pagi ini keadaannya sudah semakin pulih dan air juga semakin surut.
“Banyak kawasan yang terjejas dengan hujan lebat dan berterusan ini terutamanya sekali di Hulu Terengganu paling teruk dilanda banjir.
“Setakat ini, 1,391 orang daripada 477 keluarga masih berada di 18 pusat pemindahan banjir di daerah Hulu Terengganu dan dijangka ia akan semakin berkurangan berdasarkan cuaca pagi ini.
“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di seluruh negeri adalah 2,428 orang daripada 735 keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Pertama Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.
Tengah malam tadi, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini menjangkau kepada 3,321 orang daripada 1,050 keluarga.
Category: Semasa