Belanjawan 2027 Mesti Jadi Instrumen Selesai Masalah Rakyat, Bukannya Sekadar Memenuhi Kepentingan Politik Untuk Meraih Sokongan

by Oh! Semput


3
SHARES
36
VIEWS
Posted on 12 Oct 2026 20:00:28

KUANTAN: Belanjawan 2027 mesti menjadi instrumen untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sekadar memenuhi kepentingan politik atau meraih sokongan menjelang pilihan raya, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar.

Beliau berkata, keberkesanan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan atau banyaknya pengumuman dibuat, sebaliknya melalui pelaksanaan dasar serta manfaat sebenar yang dinikmati rakyat.

Katanya, peningkatan kos sara hidup, kestabilan pekerjaan dan kemampuan isi rumah mengurus perbelanjaan harian perlu menjadi antara ukuran utama dalam menilai keberkesanan Belanjawan 2027.

“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan terletak pada gahnya pembentangan, besarnya angka peruntukan atau banyaknya pengumuman yang dibuat.

“Sebaliknya, kejayaan itu mesti dinilai melalui keberkesanan pelaksanaan, ketelusan pengurusan dan perubahan nyata yang dirasai oleh rakyat. Rakyat perlukan penyelesaian, bukan sekadar pengumuman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azlan berkata, setiap inisiatif yang diumumkan perlu disusuli mekanisme pelaksanaan yang jelas, garis masa munasabah serta pemantauan telus bagi memastikan peruntukan disalurkan menghasilkan manfaat sewajarnya.

“Saya tidak menolak usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat. Namun, setiap pengumuman mesti disusuli mekanisme pelaksanaan yang jelas, garis masa yang munasabah serta pemantauan yang telus.

“Tanpa perkara ini, sesuatu peruntukan yang besar sekalipun belum tentu menghasilkan manfaat yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, antara persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah sama ada pendapatan rakyat benar-benar meningkat seiring dengan kenaikan kos kehidupan.

“Kenaikan gaji minimum merupakan satu langkah yang perlu dinilai dari sudut kesannya terhadap kehidupan pekerja.

“Namun, persoalan yang lebih besar ialah sama ada peningkatan pendapatan tersebut mampu mengimbangi kenaikan harga barangan, sewa rumah, pengangkutan dan perbelanjaan asas keluarga.

“Kenaikan gaji tidak seharusnya dilihat secara terpisah daripada peningkatan kos kehidupan. Yang rakyat perlukan ialah peningkatan kuasa beli dan kemampuan menjalani kehidupan dengan lebih baik,” ujarnya.

Menurutnya, bantuan sekali beri sahaja tidak mencukupi kerana rakyat turut memerlukan penyelesaian berterusan, termasuk kestabilan harga barangan, perumahan mampu milik, pengangkutan berpatutan dan perkhidmatan asas berkualiti.

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana dasar dan peruntukan dalam Belanjawan 2027 dapat mengurangkan tekanan kewangan isi rumah, khususnya keluarga berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, masa depan anak muda perlu diberikan perhatian melalui peluang pekerjaan berkualiti, kadar upah setimpal, jaminan kerjaya dan perlindungan sosial.

“Masa depan anak muda tidak boleh diukur hanya melalui jumlah peluang pekerjaan yang diumumkan. Kualiti pekerjaan, kadar upah, jaminan kerjaya, perlindungan sosial dan peluang peningkatan kemahiran juga mesti diberikan perhatian.

“Belanjawan 2027 perlu memberikan tumpuan kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan keusahawanan, akses kepada modal perniagaan serta penyelesaian terhadap ketidakpadanan antara kelayakan pendidikan dengan keperluan pasaran kerja.

“Anak muda tidak seharusnya terus dibebani dengan pekerjaan bergaji rendah, kos perumahan yang tinggi dan kesukaran membina kehidupan yang stabil walaupun sudah memasuki alam pekerjaan. Jangan korbankan pembaharuan jangka panjang demi populariti jangka pendek,” katanya.

Tambahnya, keperluan memberikan bantuan segera kepada rakyat juga perlu diseimbangkan dengan pembaharuan ekonomi jangka panjang bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh peluang pekerjaan dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Menurutnya, pelaksanaan belanjawan perlu mempunyai sasaran yang boleh diukur, tempoh pencapaian yang jelas serta mekanisme pemantauan bagi menilai keberkesanan setiap dasar yang diumumkan.

“Kejayaan belanjawan juga perlu diukur melalui hasil yang boleh dinilai. Apakah sasaran yang hendak dicapai? Bilakah rakyat boleh menikmati manfaatnya? Bagaimanakah prestasi pelaksanaannya dipantau? Dan apakah tindakan yang akan diambil sekiranya sasaran tersebut gagal dicapai? Inilah antara persoalan yang wajar diberikan perhatian sepanjang perbahasan Belanjawan 2027.

“Saya percaya rakyat memahami bahawa kerajaan berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran ekonomi. Namun, kefahaman rakyat terhadap kekangan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan keperluan mereka.

“Mandat yang diberikan melalui pilihan raya membawa tanggungjawab untuk berkhidmat dengan amanah, telus dan ikhlas. Rakyat tidak hanya mahu mendengar apa yang kerajaan janjikan. Rakyat mahu melihat apa yang kerajaan laksanakan dan merasai sendiri hasilnya,” katanya.

Beliau berkata, jika pendapatan rakyat masih gagal mengimbangi kos kehidupan, anak muda terus berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan berkualiti dan beban isi rumah tidak berkurangan, keberkesanan pelaksanaan dasar berkenaan wajar dinilai semula secara terbuka.

“Kerajaan perlu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan nilai kepada rakyat dan setiap dasar yang diumumkan mempunyai sasaran serta mekanisme pemantauan yang jelas.

“Belanjawan rakyat bukan diukur melalui tepukan ketika pembentangan, tetapi melalui perubahan yang dirasai selepas pelaksanaannya. Itulah tuntutan rakyat. Itulah juga amanah yang mesti dipikul oleh setiap kerajaan,” katanya. #Harakahdaily

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts