by Oh! Semput
KOTA KINABALU, 7 Dis — Laluan pendakian baharu ke puncak Gunung Kinabalu yang dinamakan “Kota Belud Trail” akan dibuka kepada orang awam mulai Jumaat ini.
Taman-Taman Sabah dalam kenyataannya hari ini berkata pelancaran pembukaan laluan berkenaan akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Foto Kredit to : Fidelis Francis Andam
Menurut kenyataan berkenaan, sempena majlis pembukaan itu, satu acara pelepasan kumpulan pendaki yang terdiri daripada Pasukan Restorasi Gunung Kinabalu, pengamal media dan orang awam akan dilakukan Masidi di Timpohon Gate, Taman Kinabalu.
“Laluan sejauh 1.1km itu akan menjadi laluan alternatif kepada para pendaki selain daripada laluan “Ranau Trail” yang telah dibuka kepada para pendaki sejak Disember 2015.
“Seramai 32,550 telah mendaki Gunung Kinabalu sejak Januari hingga Oktober 2016, yang terdiri daripada 14,502 pendaki warga Malaysia dan 18,048 pendaki warga antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Pihak Taman berharap agar laluan baharu berkenaan akan menjadi daya tarikan baharu kepada para pendaki dengan cabaran serta pemandangan Gunung Kinabalu dari sudut berbeza berbanding laluan sekarang.
— BERNAMA