by Oh! Semput

KUALA LUMPUR – Ia bagaikan ‘pertembungan’ keluarga apabila pasangan adik beradik Arnold, Delia dan Rachel diundi bertemu Teh bersaudara, Min En dan Min Jie dalam edisi sulung Kejohanan Skuasy Beregu Terbuka Malaysia, hari ini.
Pasangan Arnold bersaudara jelas menggunakan pengalaman mereka untuk menjinakkan Min En-Min-Jie 11-7, 11-7 dalam masa 16 minit di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini untuk mara ke separuh akhir.
Ini adalah kali kedua Delia dan Rachel digandingkan selepas menjadi pasangan pertama negara mara ke separuh akhir Kejohanan Beregu Antarabangsa di Darwin, Australia, Ogos lalu.
Namun juara kebangsaan, Delia, 30, mengakui bukan mudah untuk berpasangan dengan adiknya, Rachel, 20, kerana kurang bermain dalam acara beregu.
“Biarpun tanpa banyak latihan, saya rasa persefahaman dan kombinasi kami adalah baik. Bermain dalam acara beregu adalah sangat berbeza kerana perlu memikirkan perasaan pasangan anda.
“Anda tidak boleh bermain bersendirian…permainan beregu ini lebih susah kerana sukar menjangka kedudukan bola. Anda perlu sentiasa bersedia manakala ralinya juga pendek dan sering berulang,” katanya.
Pemain nombor 17 dunia itu juga mengakui Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada acara beregu untuk seiring dengan negara lain seperti New Zealand dan Australia, sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2018 dan Sukan SEA 2017.
Di separuh akhir esok, Delia-Rachel akan berdepan gandingan Aika Azman-Lai Wen Li yang menewaskan Nazihah Hanis-Ooi Kah Yan 11-9, 11-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Delia kemudian berganding dengan Sanjay Singh dalam acara beregu campuran untuk menewaskan Jason Ho-Sneha Sivakumar 11-7, 11-3 untuk mara ke separuh akhir kategori itu.
Pasangan muda, Chan Yiwen-S. Sivasangari turut mara ke separuh akhir beregu wanita selepas menewaskan Aira Azman-Jessica Keng 11-5, 11-3, bagi menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Aifa Azman-Andrea Lee, esok.
Dalam acara beregu lelaki, Ng Eain Yow-Mohd Syafiq Kamal mara ke separuh akhir untuk bertemu pilihan kedua, Mohd Nafiizwan Adnan-Ivan Yuen selepas mudah menundukkan Benjamin Sim-Jason Ho 11-4, 11-2.
Sementara itu, bekas pemain nombor satu negara yang kini menjadi jurulatih, Ong Beng Hee yang berganding dengan Andrew Cross gagal melepasi peringkat suku akhir apabila tewas 9-11, 5-11 kepada Addeen Idrakie-Sanjay Singh. – BERNAMA