by Oh! Semput
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah untuk terus membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu menyatakan, persaingan bagi merebut kesemua 36 kerusi DUN adalah terbuka, namun percaya pendekatan politik di Negeri Sembilan berbeza berbanding negeri lain.
“Kita (Negeri Sembilan) tak sama dengan tempat lain. Ini `negeri kito, cara kito’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson sempena PRN Negeri Sembilan ke-16.
Pada pilihan raya kali ini, Aminuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Linggi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
Mengakui DUN Linggi merupakan kubu kuat UMNO dan BN, Aminuddin berkata beliau bersedia berdepan cabaran tersebut selepas menawarkan diri kepada kepimpinan parti untuk berpindah dari DUN Sikamat.
“Ini adalah kubu Barisan Nasional, jadi saya pasti banyak cabarannya.
“Saya tak kata itu mudah, tetapi ini satu cabaran. Dan saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk turun ke DUN Linggi. Mereka banyak kali bertanya, “MB okey ke tak?” Saya kata, “Saya cuba.”
“Dan saya kena berani untuk memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan persaingan tiga penjuru bukan satu isu besar kerana sejak awal lagi sedar bakal bertanding di kawasan yang menjadi kubu kuat BN.
Jika diberi mandat, Aminuddin menyatakan antara fokus utama pembangunan di Linggi ialah pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian bagi merancakkan ekonomi setempat.
“Insya-Allah, ini satu pembaharuan dalam DUN ini sejak sekian lama, walaupun itu kubu kuat UMNO-Barisan Nasional.
“Saya bukan nak berjanji, saya akan melaksanakan.
“Apa yang kita laksanakan hari ini sudah terbukti ketika saya sebagai Ahli Parlimen, dan sebelum itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen di sini,” katanya.
: Malaysia Gazette (Mohd Khuzairi Ismail)