by Oh! Semput
SIAPA tidak mengenali Datuk Zaid Ibrahim. Umum mengenalinya kerana, dirinya terkenal dengan keluar dan masuk sesebuah parti politik atau lebih dikenali dengan istilah lompat parti.
Terbaharu, pada 7 Februari 2016, Zaid mengumumkan menyertai DAP yang merupakan parti keempat dianggotai beliau sepanjang karier politiknya.
Mengimbas karier politik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Zaid menyertai UMNO pada tahun 2000, sehingga digantung keahlian pada 2 Disember 2008.
Selepas keluar UMNO, Zaid menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2009 dan bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada tahun berikutnya, tetapi keluar dari parti itu pada November 2010 gara-gara kemelut yang dialami dalam pilihan raya parti PKR.
Pada Disember 2010, Zaid menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan dilantik sebagai presiden parti. Pada 2012, Zaid telah meletak jawatan sebagai Presiden KITA.
Adakah Zaid yang dikenali sebagai Melayu liberal dan gaya hidup lebih Barat dari Barat itu akan melompat lagi selepas ini menyertai pula parti politik lain?
Kepada parti DAP, adakah Penasihatnya, Lim Kit Siang yakin Zaid akan kekal bersama parti berkenaan?
Jika dilihat kenyataan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah sinis dan tidak yakin Zaid akan bertahan lama bersama DAP.
Atas sebab itu, Mahathir yang hadir dalam sidang media sewaktu Zaid mengumumkan menyertai DAP turut menasihatkan Zaid supaya mengetepikan sifat katak apabila sudah memasuki DAP.
Apakah sifat katak itu?
Tentunya melompat ke mana sahaja disukainya yang gemar dilakukan oleh Zaid sepanjang karier politiknya.
Kenapa DAP khususnya Lim Kit Siang begitu berminat dengan Zaid?
Seperti kenyataan Kit Siang, Zaid bakal menjadi aset DAP dalam usaha menjadikan Malaysia hebat kembali.
Persoalan, apa kehebatan Zaid sehingga dia dikatakan sebagai aset DAP?
Adakah sebelum ini, ketika menyertai beberapa parti politik, Zaid yang menjadikan Malaysia hebat?
Sudah tentu aset yang dimaksudkan Kit Siang itu adalah aset untuk mengkritik kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditambah pula dengan serangan berterusan ke atas DAP oleh pemimpin Melayu Islam yang pernah menyertai parti itu seperti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Mohamad Razali Abdul Rahman, Zukifli Mohd. Noor dan Rahmad Isahak menjadikan DAP cukup terdesak bagi mencari pengganti mereka.
Atas alasan itu, Zaid yang merupakan Melayu Liberal dan disukai Kit Siang dibawa masuk dalam parti itu demi meraih sokongan orang Melayu.
Kemasukan Zaid, malah mana-mana pemimpin Melayu Islam lain, ke dalam DAP tetap tidak akan memberikan banyak impak ke atas parti itu memenangi undi Melayu.
DAP sehingga kini tidak menunjukkan komitmen jelas kepada agenda Melayu Islam, apakah Zaid yang merupakan Melayu Liberal akan berbuat demikian?
Biarlah Zaid menjadi aset kekal kepada DAP dan Kit Siang tetapi bukan aset kepada orang Melayu dan Islam.
Apa perubahan yang Zaid mampu lakukan bersama DAP, sama-sama kita menantikannya, jangan tidak sampai sebulan, Zaid melompat lagi …