by Oh! Semput
SEJAK dahulu lagi DAP tidak mahu melihat orang Melayu bersatu kerana pimpinan parti itu bimbang penyatuan Melayu akan menggagalkan hasrat mereka mentadbir negara ini.
Oleh sebab itu, jika pemimpin UMNO dan PAS mengeluarkan kenyataan senada dalam apa juga isu, maka ia menjadi topik hangat yang diperkatakan di akaun laman sosial pemimpin DAP.
Adakah rakyat khususnya orang Melayu tidak pelik melihat tindakan itu? Sudah tentu ia sesuatu yang pelik.
Persoalan yang perlu diketahui rakyat, kenapa pemimpin DAP menyampaikan mesej bahawa persefahaman antara PAS dan UMNO adalah satu malapetaka?
Bagaimana mungkin persefahaman dua parti yang mewakili rakyat majoriti boleh memudaratkan negara?
Persoalan-persoalan ini wajar dijawab dengan ikhlas oleh pemimpin DAP.
Mengapa perkembangan mutakhir hubungan UMNO-PAS menjadi ancaman besar kepada survival politik DAP?
DAP sebenarnya takut dan gelisah mengenai sebarang usaha untuk menyatupadukan politik Melayu.
Kenapa mereka seringkali gundah setiap kali ada usaha untuk membawa UMNO dan PAS duduk di atas satu pentas?
Sudah tentu penyatuan antara dua parti orang Melayu itu tidak akan membawa kemudaratan kepada negara tetapi dibimbangi DAP akan membawa kemudaratan kepada parti itu.
Adakah menjadi satu kesalahan untuk UMNO dan PAS bersatu?
Jika mengikut kepada fakta, PAS itu hakikatnya sebahagian dari UMNO sejak asalnya.
PAS dan UMNO terpisah sejurus sebelum pilihan raya umum pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1955.
PAS pernah bersatu bersama UMNO dalam Parti Perikatan dan PAS juga pernah dikeluarkan dari Parti Perikatan di zaman 70-an dahulu.
PAS dahulu bermati-matian menentang DAP tetapi mereka akhirnya bekerjasama dengan DAP sejak 2008.
Jadi, apa yang hendak dibimbangkan jika PAS berbaik-baik dan mesra UMNO di zaman pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini?
Menjadi ancaman besarkah jika orang Melayu yang beragama Islam menguasai pentas politik Malaysia?
Jika tidak gusar, sudah tentu DAP tidak memberikan tanggapan negatif terhadap apa yang berlaku antara UMNO dan PAS.
DAP perlu tahu bahawa Islam itu menganjurkan perpaduan dan kerjasama di antara umatnya.
Islam juga menggariskan supaya berkasih sayang sesama saudara seagama dan bertindak tegas serta adil kepada mereka yang bukan Islam yang tidak menzalimi hak muslim.
Jadi, tidak salah jika UMNO dan PAS ingin bersatu dan tentunya tidak membawa kemudaratan kerana perkara itu sememangnya dituntut Islam sejak sekian lama.