by Oh! Semput
Jemaah Menteri hari ini memutuskan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan, berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja.

“Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam bawah PERKESO.
“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
“Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Manusia (KESUMA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan kemalangan bukan bencana kerja secara automatik bermula 1 Jun lalu.
Menteri Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini memaklumkan skim LINDUNG 24 Jam diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau turut menjelaskan bahawa caruman skim itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dengan kadar permulaan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji dan membuat pembayaran kepada PERKESO setiap bulan.
Bagaimanapun, susulan keputusan terbaharu Jemaah Menteri, caruman bagi skim LINDUNG 24 Jam kini dilaksanakan secara sukarela dan tidak lagi diwajibkan. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
PMX Cakna, Caruman LINDUNG 24/7 PERKESO Bukan Lagi Mandatori, Berkuat Kuasa Serta-Merta first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.