Chong Wei Naik Angin Dengan Sikap Morten Frost

by Oh! Semput


5
SHARES
68
VIEWS
Posted on 08 Feb 2017 03:00:53

Chong Wei

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menyelar sikap Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen apabila dia terpaksa melupakan Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan.

Chong Wei yang merupakan pemain No. 1 dunia mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) pada lutut kirinya selepas terjatuh ketika latihan gara-gara permukaan gelanggang yang licin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Sabtu lalu.

Justeru, BAM mengambil keputusan menukar tikar gelanggang tersebut, namun tindakan tersebut dilakukan sehari selepas Chong Wei ditimpa kecederaan itu.

Tegas Chong Wei, Frost sepatutnya lebih peka dengan mengambil tindakan menukar tikar gelanggang lebih awal selepas diberitahu jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berhubung permukaan gelanggang baharu yang licin itu.

“Secara jujur, saya sangat marah dan kecewa dengan situasi ini. Selama ini, saya hanya mengambil pendekatan mendiamkan diri kerana memikirkan dua jurulatih saya (Hendrawan dan Tey Seu Bock). Bagaimanapun, kesabaran setiap orang ada hadnya.

“Saya fikir, sudah tiba masanya untuk saya luahkan apa yang terbuku di hati saya. Sudah 18 tahun saya berada di BAM dan sudah banyak berkorban untuk negara, tetapi apa balasan yang saya dapat,” kata Chong Wei yang meraih tiga pingat perak Sukan ­Olimpik sepanjang kariernya.

Pemain berusia 35 tahun itu berpendapat, dia mungkin tidak mengalami kece­deraan tersebut sekiranya Frost mengambil tindakan menukar tikar gelanggang itu sebaik sahaja menerima aduan daripada Hendrawan.

“Saya percaya perkara (kecederaan) ini mungkin boleh dielakkan sekiranya Frost mengambil tindakan selepas menerima aduan daripada Hendrawan. Bagaimanapun, tindakan menukar tikar gelanggang sudah tidak membawa makna kerana semuanya sudah terlambat.

“Sekiranya dia (Frost) tidak berpuas hati dengan saya, dia perlu datang dan berdepan dengan saya. Saya juga boleh keluar daripada BAM jika dia tidak sukakan saya kerana saya yakin, saya masih mampu buktikan kemampuan walaupun berada di luar BAM,” ujar pemain kelahiran Pulau Pinang itu lagi.

Sementara itu, Chong Wei juga me­ngakui, dia bakal mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid bagi membincangkan isu tersebut.

Dalam perkembangan sama, Chong Wei yang meletakkan sasaran beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan turut meluahkan kekecewaannya atas kenyataan yang dikeluarkan Frost berhubung masa depannya dalam sukan berkenaan.

“Saya cukup kecewa dengan perta­nyaan Frost kepada Hendrawan semalam (kelmarin). Dia tanya adakah kecederaan ini merupakan penamat karier saya? Saya tidak tahu mengapa dia tergamak untuk bertanya soalan demikian.

“Mungkin skuad perseorangan lelaki negara berada dalam keadaan tenat ketika ini, namun saya masih merupakan pemain No. 1 dunia. Adakah dia tahu dan sedar berapa banyak pengorbanan serta kerja keras yang perlu saya lakukan untuk kembali ke tahap ini selepas menjalani penggantungan.

“Saya tidak tahu apa yang dia mahukan kerana saya langsung tidak berminat untuk terjebak dalam politik seperti ini. Dia perlu berada di tempat saya dan dia akan tahu apa yang saya rasa, sungguh mengecewakan apabila mendengar komen seperti itu,” luah Chong Wei yang merupakan bekas anak didik legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Difahamkan, perkara ini juga dikatakan sudah sampai ke pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebelum ini, Hendrawan menyatakan kepada media bahawa Chong Wei me­ngalami kecederaan gara-gara tersalah melakukan pergerakan, namun kenyataan yang dikeluarkan anak buahnya itu nyata sudah membongkar kejadian sebenar yang berlaku pada waktu tersebut.

Pada permulaan 2017, Chong Wei dijadualkan beraksi pada Terbuka Malaysia, India, Indonesia, Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia, namun dia mungkin terpaksa melupakan beberapa kejohanan tersebut musim ini selepas mengalami kecederaan itu.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts