Debaran Bakal Juara Pencetus Ummah 4

by Oh! Semput


3
SHARES
37
VIEWS
Posted on 08 Dec 2016 08:00:53

pencetus ummahCover image via Harian Metro

Keputusan juara Pencetus Ummah (PU) musim keempat bakal terjawab malam ini selepas enam minggu bersiaran secara langsung dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi.

Mengangkat tema Penyatuan, PU 4 bermula dengan sembilan peserta beradu kebijaksaaan menyampaikan tazkirah berdasarkan tajuk tugasan masing-masing.

Pada minggu separuh akhir yang bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) minggu lalu, empat peserta yang meraih markah tertinggi diumumkan layak mara ke peringkat akhir iaitu PU Mizi, PU Zul, PU Akram dan PU Raihan.

Malam ini, setiap finalis perlu berusaha menggunakan pelbagai platform dan ilmu yang dimiliki untuk menyampaikan dakwah. Setiap peserta diberikan dua tugasan iaitu solo dan duet.

Mizi atau nama sebenarnya Nor Hamizi Jamaluddin, 41, berkata, pentas final lebih memberi tekanan kepadanya untuk memberikan persembahan yang mampu mencuit hati penonton.

“Walaupun sudah biasa menyampaikan tazkirah di surau dan majlis ilmu, pentas PU cabarannya lebih besar kerana setiap pengisian yang disampaikan perlu menarik dan kreatif.

“Minggu ini saya bakal menyampaikan tugasan solo bertajuk Aduhai Ummah dan Andai Semalam Milikku bergandingan dengan PU Zul. Alhamdulillah persiapan setakat ini lancar, cuma saya mahu selitkan sedikit ‘aksesori’ dalam persembahan seperti lakonan, prop dan unsur humor,” katanya.

Pegawai Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang itu mengakui finalis lain semuanya hebat selain mempunyai idea baru yang sukar dijangka ketika beraksi di pentas.

Biarpun menerima pujian ramai apabila dikatakan mempunyai pengalaman luas dalam bidang agama, sekali gus disebut-sebut bakal bergelar juara PU 4, Mizi tidak pernah mendabik dada.

“Tidak dinafikan saya antara peserta paling tua dalam PU, tetapi peserta muda lain juga tidak kurang hebatnya. Mereka mempunyai idea baru yang kadangkala saya juga tidak terfikir.

“Bagaimanapun, saya cuba mengimbangi dakwah yang disampaikan supaya dapat diterima pelbagai peringkat usia. Terus terang, saya tak nampak sebarang kelebihan diri kerana saya hanya memberikan persembahan yang santai. Saya tidak rasa itu satu kekuatan berbanding peserta lain yang mempunyai intonasi suara yang baik dalam menyampaikan tazkirah.

“Falsafah hidup saya, menang atau tidak bukan keutamaan, tetapi saya mahu jadi juara dalam hati masyarakat,” katanya.

PU Zul, 41, pula berkata, dia tidak menyangka bakal berentap di pusingan akhir dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk bergelar juara.

“Alhamdulillah, saya dapat mara sejauh ini. Sebenarnya saya ingatkan hanya mampu bertahan hingga minggu kedua, tetapi syukur rezeki sampai ke pentas final.

“Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik kepada penonton malam ini,” katanya.

Tambah guru di Sekolah Menengah Agama Al-Yusufiah itu, sepanjang berada dalam pertandingan ini, dia melihat peningkatan ketara persembahannya hasil didikan dan tunjuk ajar Fauziah Nawi.

“Jika pada awal pembabitan, saya kurang faham apa itu karakter dalam persembahan, tetapi dari minggu ke minggu saya diajar ibu Fauziah untuk mendalami watak dibawa. Saya menyerap segala ilmu dan komen penonton untuk memperbaiki mutu persembahan.

“Alhamdulillah bermula minggu keempat, saya semakin berani membawakan pelbagai karakter baru seperti YB dan pengacara. Insya-Allah pada pentas final ini saya akan menjadi penyanyi nasyid pula,” katanya yang bakal membawakan tajuk solo berjudul Madu Tiga.

Sementara itu, PU Raihan berkata, meskipun setiap minggu berada di kedudukan tiga terbawah dan melalui cabaran Medan Fikrah sebanyak lima kali, dia tetap terus berjuang dan berusaha keras memperbaiki mutu persembahan sehingga layak beraksi di pentas final.

“Saya antara peserta yang sentiasa berada di kedudukan terendah setiap minggu. Sampaikan orang melabel saya sebagai peserta yang berjuang untuk terus hidup di pentas PU.

“Setiap kali terselamat daripada penyingkiran saya akan perbaiki mutu persembahan dan itu menyebabkan saya terselamat setiap minggu. Selain itu, saya sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa bersedia dan tidak kelam-kabut ketika berbahas di Medan Fikrah,” katanya.

Pada pentas final ini, PU Raihan bakal membawakan tugasan solo berjudul Dia Seorang Mualaf. Menerusi topik berkenaan, dia bakal mengupas realiti sebenar mualaf masa kini berdasarkan pengalamannya sebagai pengajar mualaf sepanjang setahun berkhidmat di Kompleks Al Saadah, Negeri Sembilan.

Bagi PU Akram pula, dia antara finalis yang masih ‘hijau’ dalam dunia dakwah berbanding peserta lain yang jauh lebih berpengalaman.

Pun begitu, PU Akram akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan persembahan yang diberikan nanti tidak ‘tenggelam’ dan mampu memancing hati penonton.

“Kalau diikutkan saya hanya belajar di sekolah agama dan menyambung pengajian dalam ijazah sarjana muda di KUIS. Finalis lain mempunyai portfolio hebat dalam ilmu agama. Namun saya akan cuba memberikan persembahan mengikut kemampuan dan ilmu yang dimiliki.

“Selain itu, saya akan lihat semula persembahan sebelum ini bagi memperbaiki kelemahan selain menambah bentuk persembahan yang belum pernah saya lakukan,” katanya.

Juara PU musim ini akan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala pemenang kedua menerima RM30,000, ketiga (RM20,000) dan keempat (RM10,000) berserta trofi.

Baca lagi: Fara Fauzana Juri Tetap Pencetus Ummah 4

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts