by Oh! Semput
DeepSeek merupakan salah satu syarikat kecerdasan buatan janaan yang popular, dan sedia menawarkan model AI mereka yang setara dengan pelbagai model lain di pasaran, dan dibangunkan dengan kos lebih rendah. Terbaru, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada cip NVIDIA, DeepSeek dilaporkan sedang membangunkan cip AI mereka tersendiri.
Sebelum ini, DeepSeek menggunakan cip NVIDIA dan Huawei untuk melatih dan mengoperasikan model AI mereka. Cip awal yang sedang dibangunkan oleh DeepSeek akan memfokuskan kepada sokongan inferens, iaitu untuk membolehkan ia melakukan pengiraan dan perkomputeran untuk menjana jawapan bagi pengguna.
Buat masa ini, cip untuk melatih model AI masih belum mula dibangunkan, dan bergantung kepada cip lain dipasaran.

Pelbagai syarikat AI kebelakangan ini sedia membangunkan cip mereka tersendiri dalam mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar, dan mempunyai lebih kawalan kepada model mereka, serta pada masa yang sama mengoptimasikan lagi kos operasi. Langkah DeepSeek ini juga sekiranya berjaya dijangka akan memberikan satu tamparan hebat kepada Amerika Syarikat. Sebelum ini sendiri, sebahagian model terbaru DeepSeek v4 dikatakan dilatih menggunakan cip Huawei.
Dengan perkembangan sihat ini, sama-sama kita nantikan apakah penawaran seterusnya oleh DeepSeek dalam terus menawarkan model berkuasa pada harga lebih kompetitif.