by Oh! Semput
Kerajaan menambah baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan memperkenalkan mekanisme baharu yang membolehkan pemilik kenderaan memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga yang menggunakan kenderaan tersebut.
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan fasa akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia yang bermula semalam tanpa sebarang isu dilaporkan.
Ujarnya, tempoh akses awal itu akan berlangsung selama empat hari sebelum pelaksanaan penuh skim berkenaan bermula pada Rabu ini.

Menurut Amir Hamzah, penambahbaikan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklum balas orang ramai, khususnya pengguna di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak yang berdepan situasi penggunaan kenderaan oleh ahli keluarga.

Beliau menyatakan, pemilik kenderaan yang ingin membuat perubahan itu boleh mengemas kini maklumat menerusi portal rasmi BUDI MADANI Diesel.
Melalui skim tersebut, pengguna yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota fleksibel sehingga 200 liter sepanjang tempoh akses awal.
Bermula Rabu ini, kadar subsidi itu akan diselaraskan kepada RM2.10 seliter selaras dengan pelaksanaan penuh mekanisme baharu berkenaan.
: Utusan Malaysia (Johanna Mumtaz Wanpa)