by Oh! Semput
LAMA kiranya tidak melihat kemunculan pelakon kacak, Fahrin Ahmad menerusi naskhah terbaharu di kaca televisyen mahupun layar perak.
Kehilangan pelakon berusia 37 tahun itu daripada radar hiburan tanah air tidak bermakna dia mula menyemai keinginan untuk meninggalkan dunia lakonan.
Perkara tersebut pantas ditepis Fahrin. Katanya, dia kini lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan dan keluarga terutama anaknya, Khalifa Fahrel yang kini berusia lima bulan.
Jika boleh kata Fahrin, dia meletakkan hasrat menjejakkan kaki ke acara anugerah penuh berprestij seperti Anugerah Akademi atau Oscar pada masa hadapan.
Impian suami kepada Elena Hani Eleas itu dinyatakan sewaktu menghadiri majlis tayangan Anugerah Oscar ke-89 di Hotel Ritz Carlton yang dibawakan khas oleh saluran Astro HBO baru-baru ini.
Sejak kebelakangan ini Fahrin dilihat kurang muncul di kaca televisyen mahupun layar perak. Adakah anda berniat untuk melupakan bidang lakonan?
FAHRIN: Saya kurang muncul kerana banyak terlibat dengan kerja pengacaraan dan memberi tumpuan kepada keluarga kerana sekarang setiap kali selepas keluar rumah, saya akan cuba balik rumah awal hanya untuk berjumpa dengan anak (Khalifa Fahrel).
Seboleh-bolehnya, saya mahu menghabiskan masa sekerap mungkin bersama anak kerana proses pembesaran anak berlaku dengan cepat. Kalau boleh, saya tidak mahu ketinggalan momen istimewa itu.
Lebih memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan, tidakkah anda merindui lokasi lakonan?
Sudah pasti saya rindu untuk kembali berlakon. Buat masa sekarang saya baru selesai sesi penggambaran drama rantaian untuk siaran sempena Ramadan bertajuk Wanita Luar Biasa dan seterusnya memulakan penggambaran sebuah telefilem arahan Rashid Sibir.
Selebihnya, saya banyak mengendalikan program sukan. Selain program Atlet Sukan musim kedua sekitar September nanti, saya akan berangkat ke Manchester untuk menjalani rakaman program Mencari Ramli musim keenam. Saya juga akan muncul dalam sebuah drama bersiri 26 episod berjudul Karisma tidak lama lagi.
Apakah yang mendorong anda
lebih aktif dalam pengacaraan berbanding lakonan?
Menjadi pengacara tidak mengambil masa terlalu lama berbanding lakonan selain jadual kerjaya agak fleksibel. Biarpun optimis dengan jadual kerja, saya tetap berusaha meluangkan masa dengan isteri dan anak kerana bimbang konsentrasi terganggu sewaktu kerja (seloroh).
Beralih ke arah status anda yang kini bergelar bapa, bolehkah kongsikan pengalaman mempunyai seorang anak kecil?
Saya amat bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi ketika ini. Pengalaman menjadi bapa dalam tempoh beberapa bulan ini merupakan suatu perkara yang menyeronokkan.
Tambahan pula, isteri tidak lagi bekerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan bayi. Paling penting, kini baru saya faham perasaan kedua orang tua yang membesarkan kita.
Saya baru sedar perasaan bagaimana sekiranya anak yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh bersikap derhaka. Ia pastinya perasaan yang sangat mengecewakan dan menyedihkan.
Hadir ke majlis tayangan Anugerah Oscar ke-89 anjuran saluran Astro HBO, apakah reaksi anda terhadap kesilapan yang dilakukan oleh Warren Beatty sewaktu mengumumkan nama pemenang kategori Filem Terbaik?
Bagi saya, perkara tersebut semestinya menjadi isu yang hangat diperkatakan. Sebagai penonton ia agak sukar dilupakan dan agak lucu sebenarnya.
Melihat senarai penerima trofi Oscar, adakah anda menyimpan hasrat untuk turut membawa pulang sebarang trofi pada acara anugerah hiburan tanah air?
Sejujurnya, setiap kali menyaksikan majlis anugerah tidak mengira sama ada tempatan atau antarabangsa, perkara paling utama ialah saya akan menonton karya yang dijayakan mereka untuk mengetahui apa yang membuatkan mereka mendapat pengiktirafan.
Bukan sanjungan menjadi perkara utama tetapi lebih ke arah pembelajaran terhadap seni lakonan. Dengan cara sebegitu, saya akan berusaha menjadi lebih baik dan memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang.
Bagaimanakah reaksi anda apabila melihat pencapaian Nabil Ahmad yang bermula sebagai pelawak tetapi berpeluang membuat liputan acara karpet merah Anugerah Oscar di Los Angeles, Amerika Syarikat?
Nabil tidak patut ke sana (seloroh). Apabila melihat kesungguhan Nabil menjayakan program tersebut, saya tumpang bangga dan gembira apabila melihat anak tempatan berjaya menjejakkan kaki ke anugerah popular antarabangsa.
Sebagai penonton, saya berasa teruja dan terhibur melihatnya. Apabila melihat Nabil ke Hollywood, secara tidak langsung saya turut menanam impian untuk mengendalikan program sebegitu sekiranya diberi peluang.
Baca lagi: Nabil Teruja Berjaya Temubual Nicole Kidman, Jackie Chan