Filipina Tempatkan Seorang Pegawai Liaison Di Kota Kinabalu

by Oh! Semput


10
SHARES
130
VIEWS
Posted on 01 Dec 2016 16:01:25

LAHAD DATU, 1 Dis – Filipina bersetuju untuk menempatkan seorang pegawainya di Kota Kinabalu yang bertindak sebagai Liaison (pegawai perhubungan) untuk memudahkan Malaysia berhubung dengan pihak berkuasa di Filipina, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata penempatan pegawai itu sekali gus akan memudahkan pihak berkuasa Malaysia memperoleh maklumat lanjut mengenai pelbagai perkara daripada pihak berkuasa di Manila.

“Kami (pihak berkuasa kedua-dua negara) telah mewujudkan ‘Contact Point Person’ di antara polis di daerah-daerah pantai timur sabah dan di Selatan Filipina,” katanya selepas menyempurnakan majlis pemberian Anugerah Pingat Kedaulatan Negara di sini, hari ini.

Seramai 216 pegawai dan anggota termasuk dari Pasukan Polis Marin, tentera udara dan Pasukan Gerakan Am (PGA) diberikan anugerah tersebut yang disampaikan oleh Khalid.

Pada majlis itu, 10 isteri anggota yang terlibat dalam Op Daulat pada 2013 turut diberikan penghormatan kerana membantu suami dari segi penghantaran makanan dan penyediaan senjata.

Sementara itu, Khalid berkata pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya mencegah musuh daripada menghampiri daratan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Beberapa perbuatan jenayah yang dilakukan adalah di laut lepas iaitu di sempadan perairan negara dan antarabangsa dan ini menunjukkan bahawa apa juga tindakan yang diambil oleh ESSCom dan polis Sabah itu berkesan,” katanya.

Namun menurutnya, pasukan keselamatan khususnya di ESSZone diingatkan agar bersiap siaga kerana musuh sentiasa menunggu peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan jenayah rentas sempadan.

Mengulas mengenai penemuan senjata api di Felda Sahabat baru-baru ini, Khalid berkata senjata berkenaan dipercayai ditanam musuh sewaktu pencerobohan dulu, sebelum mereka melarikan diri.

“ESSCom dan PGA mempunyai pasukan khas dalam mendapatkan maklumat ini daripada masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, masyarakat setempat juga perlu melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat termasuk penemuan senjata untuk diambil tindakan.

Dalam pada itu, Khalid berkata Felda Global Ventures Holdings Berhad menyumbangkan 10 motosikal jenis Scrambler untuk digunakan anggota yang bertugas mengawal di kawasan pantai timur seperti Tanjung Batu dan Tanjung Labian di sini.

“Ketika ini, PGA menjalankan rondaan dengan berjalan kaki dan dengan adanya kenderaan ini, kami dapat memperluaskan lagi kawasan rondaan sekali gus dapat mengenali masyarakat di kawasan rondaan,” katanya lagi.

— BERNAMA


SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts