by Oh! Semput
Foodie Media sedia terkenal dengan sejumlah saluran sosial mereka yang berkongsi pelbagai kandungan berkaitan makanan, termasuk melalui saluran seperti KL Foodie, Penang Foodie, Halal Foodie, dan sebagainya. Kini, selain kandungan di platform sosial, Foodie Media turut sedang membangunkan sebuah platform yang turut menghimpunkan kandungan mereka, termasuk menghubungkan pengguna ke kedai makan.

Pinn Yang, CEO Foodie Media menyatakan kini mereka dalam fasa pembangunan untuk platform mereka tersendiri, membolehkan orang ramai untuk mengikuti kandungan, dan seterusnya terus melakukan tempahan untuk makan di kedai berkenaan. Ia tidak dikongsikan sepenuhnya berkenaan bagaimana platform ini akan beroperasi sepenuhnya. Foodie Media dijangka menggunakan jutaan pengikut mereka dalam platform sosial dan membawa pengguna ke platform tersebut.
Bagi ciri tempahan kedai makan, terdapat beberapa platform yang menawarkan ciri lebih kurang sama, termasuk Eatigo, Tableapp, dan juga Grab sendiri membolehkan pengguna melakukan tempahan untuk makan di kedai melalui aplikasi mereka.
Untuk makluman pengguna juga, sebelum ini mereka pernah melancarkan aplikasi Foodie+ pada 2020 yang lepas, namun aplikasi berkenaan tidak lagi diteruskan.
Foodie Media menyasarkan pelancaran platform mereka ini pada awal 2027 kelak.